Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

Kenapa TUHAN Mencari Lelaki?


Ada orang berkata lelaki dan perempuan sama saja. Apa yang membezakan mereka ialah jantina dan bentuk tubuh badan sahaja. Tetapi sebenarnya banyak perkara yang berbeza tentang lelaki dan perempuan. Selain daripada jantina dan bentuk tubuh badan, tahap pemikiran, pertimbangan, dan perasaan mereka juga tidak sama. Bahkan tanggungjawab mereka pun berbeza. Lelaki sebagai ketua dan perempuan sebagai penolong yang sepadan. Kalau mereka sama, maka tidak perlu mereka 'dipersatukan'. Justeru kesatuan perlu ada supaya mereka dapat saling melengkapi.

Jika kita perhatikan, apabila ada seseorang yang memberikan ucapan di dalam bahasa Inggeris, dia akan menyebut 'ladies and gentlemen'. Juga ada istilah dalam bahasa Inggeris yang menyebut 'ladies first'. Kedua-dua ungkapan ini menyatakan bahawa perempuan yang disebut terlebih dahulu atau didahulukan. Saya tidak tahu dengan pasti kenapa, tetapi kadang-kadang saya terfikir, mungkin ia merujuk kepada peristiwa di Taman Eden, di mana 'perempuan' yang telah berdosa terlebih dahulu (1 Tim. 2: 14) barulah lelaki. Namun alkitab juga memberitahu kita bahawa setelah manusia (Adam dan Hawa) jatuh ke dalam dosa, Allah telah berjalan di taman Eden, lalu memanggil lelaki itu, "Di manakah engkau?" (Kej. 3: 9). Allah tidak memanggil perempuan, walaupun perempuan yang telah berdosa terlebih dahulu.

Saudara/i, jika ada masalah di dalam keluarga, tidak kira ianya berpunca daripada lelaki ataupun perempuan, Tuhan akan mencari lelaki. Jika ada masalah di dalam gereja, Tuhan akan mencari lelaki. Jika ada masalah di dalam masyarakat dan negara, Tuhan mencari lelaki. Sebenarnya masalah apa pun di dunia ini, Tuhan telah, sedang dan akan sentiasa mencari lelaki! Itu bukan bermakna perempuan tidak penting atau lebih rendah tarafnya daripada lelaki, tetapi ada maksud kenapa Tuhan mencari lelaki dan bukan perempuan. Tuhan mencari lelaki kerana;

1. Lelaki merupakan manusia ciptaan Allah yang pertama dan sejati.

Ketika Allah mula menciptakan manusia, manusia pertama yang diciptakan itu ialah seorang lelaki yang kemudiannya diberikan nama Adam (Nota: Nama Adam dan Hawa hanya disebut di dalam Alkitab setelah manusia jatuh ke dalam dosa). Perempuan (Hawa) pun 'diambil' oleh TUHAN dari tulang rusuk lelaki (Adam), lalu membentuknya menjadi perempuan. Kemudian lelaki itu berkata, "Inilah dia, orang yang sama dengan aku; tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Aku namakan dia perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki." (Kej. 2: 21-23).

Jika Allah mencari lelaki, itu bermakna Allah mencari lelaki dan perempuan (kerana pada hakikatnya perempuan itu sebahagian daripada lelaki). Jika Allah mencari perempuan, maka lelaki boleh mencari alasan untuk berkecuali dan membiarkan perempuan sahaja yang berurusan dengan TUHAN kerana perempuan bukan gambaran bagi keseluruhan manusia (sekali lagi ia hanya 'diambil' daripada lelaki). Tetapi ternyata Allah mencari lelaki, dan itu bermakna TUHAN mahu berurusan dengan lelaki dan perempuan!

2. Lelaki memiliki hidup dari 'hembusan nafas Allah'.

Setelah Allah membentuk manusia (lelaki) daripada tanah, manusia itu belum hidup lagi. Manusia itu hanya hidup setelah Allah menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya (Kej. 2: 7). Setelah Allah membentuk perempuan yang diambil dari lelaki, Alkitab tidak lagi menyebut bahawa Allah menghembuskan nafas ke dalam lubang hidungnya, kerana perempuan 'berkongsi' nafas kehidupan itu dengan lelaki.

Hembusan nafas Allah ini amat penting kerana ia adalah gambaran kesinambungan 'kehidupan' dan 'kekuasaan' Allah yang harus dipelihara oleh seorang lelaki. Jika seseorang lelaki gagal memelihara 'hembusan nafas' itu maka ia juga turut gagal sebagai 'agen' pernafasan bagi seorang perempuan.

3. Lelaki menerima firman Allah terlebih dahulu.

Daripada pengamatan saya secara peribadi, terdapat tiga perintah Allah yang amat penting kepada manusia setalah Dia menciptakannya, iaitu;

i. Allah berfirman kepada manusia supaya makan buah-buahan daripada semua pokok di Taman Eden kecuali buah dari pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan jahat (Kej. 1: 29Kej. 2: 16-17).

ii. Allah memerintahkan manusia untuk memberi nama semua binatang dan burung (Kej. 2: 19). (walaupun tidak ada ayat perbualan dalam petikan ini).

iii. Allah berfirman kepada manusia supaya beranak-cucu sehingga keturunan mereka memenuhi muka bumi serta menguasainya (Kej. 1: 28).

Perhatikan dengan teliti; dua perintah Allah, (i) dan (ii), di atas difirmankanNya kepada lelaki sebelum perempuan diciptakan lagi. Manakalah perintah (iii) sudah pasti setelah kedua-dua mereka (lelaki dan perempuan) diciptakan, kerana tidak mungkin Allah berfirman sedemikian hanya kepada lelaki seorang sahaja tanpa kewujudan perempuan. Perhatikan juga bahawa perempuan telah berdosa terlebih dahulu kerana melanggar perintah Allah yang pertama di atas (Kej. 3: 1-6).

Persoalannya di sini ialah bagaimana perempuan (Hawa) boleh jatuh ke dalam dosa dengan melanggar hukum tersebut? Jawapannya sudah jelas, iaitu bukan Hawa yang pertama sekali menerima firman Allah. Satu-satunya sumber pengetahuan Hawa ialah Adam, si lelaki itu. Kenapa Adam tidak mengajarkan perintah Allah dengan sebaik-baiknya kepada Hawa? Ke manakah perginya Adam dan apa yang dia sedang buat ketika Hawa dicubai Iblis? Walaupun Hawa yang berdosa terlebih dahulu, tetapi Allah mencari Adam kerana Adamlah yang pertama menerima perintah Allah itu (Kej. 3: 9). Adam bertanggungjawab untuk memastikan bahawa Hawa juga menerima dan memahami perintah yang sama.

Saudara/i, perkara ini bukan hanya sekadar berlaku ketika manusia masih berada di Taman Eden. Bahkan hari ini, ramai lelaki yang tidak sedar akan kepentingan dan tanggungjawab mereka. Menjadi penting atau bertanggungjawab bukan pilihan yang boleh dibuat oleh seorang lelaki sebenarnya. Itu adalah 'nature' mereka, yang mereka harus temui dan miliki kembali. Sesungguhnya lelakilah yang bertanggungjawab terhadap 'penyakit' dosa manusia. Jika lelaki dapat di'merdeka'kan, manusia pada amnya akan dapat dipulihkan. Itulah sebabnya sehingga hari ini Allah masih mencari-cari, di manakah lelaki? Malangnya ada banyak gereja yang kekurangan lelaki. Lelaki yang ada pun belum tentu sudah 'ditemui' oleh TUHAN. Sekali lagi, ke manakah perginya lelaki?

Nota: Wahai para lelaki, keluarlah dari tempat 'persembunyian'mu dan 'perlihatkan'lah dirimu kepada TUHAN, kerana TUHAN sedang mencarimu! Marilah kita dipulihkan untuk memulihkan!

Tuhan memberkati semua.

Last edited: 11.11.2011
This article is 

No comments: