Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

Siapa Iblis Menurut Alkitab?

Bayangan ramai orang beranggapan bahawa Iblis merupakan sejenis makhluk merah bertanduk yang menggerunkan dan sentiasa berbisik di telinga kita untuk melakukan kejahatan. Ada juga yang beranggapan bahawa ia hanyalah suatu kuasa kejahatan yang boleh masuk ke dalam diri manusia dan tidak memiliki peribadi yang nyata. Mari kita selidiki bersama-sama apa kata Alkitab tentang Iblis.

'Satan' ialah perkataan dalam bahasa Ibrani yang bermaksud 'musuh' atau ' yang melawan'. Ia juga disebut 'Devil' (bermaksud 'penfitnah') , dan juga 'Lucifer' (Hanya ditemui dalam terjemahan KJV yang bermaksud 'bintang fajar' yang cemerlang). Dalam terjemahan Bahasa Malaysia ia disebut sebagai Iblis atau Syaitan (Wahyu 20: 2). Dalam terjemahan Bahasa Indonesia perkataan 'setan' digunakan sebagai terjemahan bagi perkataan 'devils' dalam Bahasa Inggeris yang diterjemahkan sebagai roh jahat dalam Bahasa Malaysia.

Ada banyak lagi gelaran atau nama-nama yang merujuk kepada Iblis dan sifat-sifatnya, seperti penguasa dunia (Yohanes 12:31; 2 Korintus 4:4; Efesus 2:2), penuduh (Zakaria 3: 1, Wahyu 12:10), pencuba/penggoda (Matius 4:3; 1 Tesalonika 3:5), dan penipu (Kejadian 3, 2 Korintus 4:4; Wahyu 20:3). Ia juga disebut sebagai Naga Besar (Wahyu 12: 9). Untuk memudahkan penulisan, saya hanya menyebutnya sebagai Iblis untuk mewakili semua gelaran itu.

Iblis merupakan salah satu malaikat ciptaan Allah. Bahkan malaikat yang tertinggi kedudukannya di Syurga. Petikan firman Tuhan dalam Yesaya 14: 12-14, dan Yehezkiel 28: 11-19 menceritakan kepada kita tentang siapa Iblis dan bagaimana ia jatuh ke dalam dosa. Ada beberapa pendapat yang mengatakan bahawa kedua-dua petikan ini bukan merujuk kepada Iblis tetapi masing-masing merujuk kepada Raja Babilonia dan Raja Tirus. Dakwaan itu benar secara harfiah (literal), tetapi kita harus memahami bahawa watak utama dalam kejahatan Raja Babilonia dan Raja Tirus ialah Iblis yang kita ketahui sebagai penguasa dunia. Oleh itu mesej utama dalam petikan-petikan itu sebenarnya memang merujuk dan ditujukan kepada Iblis.

Lucifer (gelaran sebelum kejatuhannya) merupakan malaikat yang gilang gemilang dan menjadi contoh kesempurnaan malaikat ciptaan Allah. Dia sungguh kacak, dan bijaksana. Dia dikenakan pakaian yang amat berharga dan berkilauan. Dia sangat terkenal dan dengan keadudukannya sedemikian, dia dipercayai berperanan sebagai ketua penyembahan di Syurga. Kelakuannya tidak bercela sehingga ia mula berbuat jahat. Dengan segala kelebihan dan kedudukannya yang hanya berada di tempat kedua berbanding Allah, maka dia mula menjadi sombong dan angkuh. Dia mahu dirinya juga disembah seperti Allah dan bahkan bercita-cita untuk mengambilalih kedudukan Allah. (Yesaya 14:13-14, Yehezkiel 28:15, 1 Timotius 3:6). Disebabkan oleh dosanya, Allah membanting Iblis ke tanah, keluar dari Syurga (Yehezkiel 28:17, Lukas 10: 18).

Pengaruh Iblis memang besar kerana dia berjaya membawa bersamanya sepertiga malaikat di syurga untuk menyertainya melawan Allah (Wahyu 12: 4). Walaupun tidak disebut secara nyata dalam Alkitab bilakah masa yang tepat Iblis mula berdosa, tetapi apa yang nyata Iblis berdosa dahulu sebelum manusia, dan bahkan Iblislah yang memperdaya manusia sehingga manusia juga jatuh ke dalam dosa (Kejadian 3). Iblis tahu bahawa Allah maha berkuasa, tetapi keadaan-keadaan di atas telah dianggap oleh Iblis sebagai 'kejayaan-kejayaan'nya, dan atas sebab itulah juga sehingga kini walaupun Iblis sudah dibuang dari Syurga, tetapi dia masih menaruh harapan bahawa ada lagi kejayaan-kejayaannya pada masa akan datang, dan bahkan mungkin dapat mengalahkan Allah.

Iblis dan manusia telah sama-sama berdosa, tetapi kenapa Allah menyediakan rancangan keselamatan kepada manusia dan tidak kepada Iblis? Apakah Allah tidak mengasihi Iblis (Lucifer) dan mahu memberikannya peluang kedua? Hakikatnya Allah memang mengasihi Iblis sebelum kejatuhannya. Setelah Iblis berdosa, Allah membenci Iblis. Allah tidak memberikan peluang lagi kepada Iblis untuk bertaubat kerana 'malaikat' merupakan makhluk yang sangat dekat kepada Allah. Mereka menyembah Dia siang dan malam (Yesaya 6: 3, Wahyu 4: 8) . Mereka tahu siapa Allah dan segala keagungannya, tetapi Iblis (the fallen-angel) telah memilih untuk melawan Allah walaupun dia sendiri penuh dengan kebijaksanaan tentang siapa Allah. Kerana pengetahuannya, Allah mengetahui bahawa sekalipun Dia memberikan peluang kepada Iblis, Iblis tetap memilih untuk melawan Allah. Itulah sebabnya Iblis tidak sibuk untuk berusaha mendekatkan diri dan memulihkan hubungannya dengan Allah. Sebaliknya dia merayau-rayau seperti singa yang mengaum, untuk mencari siapa lagi yang boleh diperdayanya untuk turut serta melawan Allah (1 Petrus 5: 8).

Manusia pula berdosa kerana ditipu dan diperdaya oleh Iblis. Pada mulanya manusia bukan merancang untuk melawan Allah, tetapi kerana tipu daya Iblis, manusia telah berdosa. Setelah itu, manusia menjadi malu dan takut, lalu bersembunyi. Pada mulanya manusia tidak ada kesombongan atau keangkuhan. Kesombongan dan keangkuhan manusia pada hari ini diperolehi daripada Iblis. Apa yang berlaku di Taman Eden ketika manusia jatuh ke dalam dosa ialah satu 'kesilapan' kerana manusia (Hawa) tidak memahami firman Allah, dan bukan niat asalnya untuk melawan Allah. Sekali lagi sebagai perbandingan Iblis yang penuh dengan kebijaksanaan Allah telah menjadi sombong dan angkuh lalu melawan Allah. Tidak ada yang memperdaya Iblis. Dia sendiri yang merancang untuk mahu menjadi seperti Allah. Malangnya kesilapan manusia itu menerima nasib yang sama iaitu 'dosa' bermakna 'maut'. Allah mengetahui perkara itu, dan itulah sebabnya Allah mencari manusia dan bahkan menyediakan rancangan keselamatan melalui Yesus. Hari ini, oleh kerana kita telah memiliki kebijaksanaan daripada Allah, maka kita boleh membuat pilihan samada mengikut Tuhan atau Iblis. Kita diberi kesempatan untuk memilih, tetapi Iblis tidak kerana dari awal lagi dia sudah sebati dengan kejahatannya! (Yohanes 8: 44)

Iblis walaupun sudah dibuang dari Syurga, untuk sementara waktu, dia masih dapat datang dan menghadap Allah di Syurga, tetapi bukan dengan sesuka hatinya, melainkan hanya apabila 'dipanggil' untuk menghadap oleh Allah dalam keadaan-keadaan tertentu (Ayub 1: 6-7, 2 Tawarikh 18: 18-21). Pada waktu penghakiman Allah akan memanggil Iblis sekali lagi untuk menerima hukuman yang terakhir, iaitu dibuang ke dalam lautan api (Wahyu 20: 11-15). Selepas itu, Allah akan menciptakan langit dan bumi yang baru, dan akan menyapu segala air mata dari mata kita dan menyediakan Yerusalem baru. Ketika itu dosa (Iblis) tidak akan dapat masuk lagi. Hanya orang yang namanya tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu (Wahyu 21: 1-3, 27).

Sungguh ajaib dan besar anugerahNya! Tuhan memberkati semua...
This article is 

1 comment:

momogun said...

Alkitab menjelaskan bahawa Allah adalah Adil, Kasih dan panjang sabar.

Namun Alkitab juga menjelaskan bahawa dosa yang tidak dapat di ampuni ialah menghujat Roh Allah.

Menghujat Roh Allah bermakna tidak mengizinkan kehadiran Allah. Allah tetap dapat menjangkau setiap malaikat mahupun manusia melalui Roh-Nya.

Namun sungguh tragik sekali kerana Iblis menolak mentah-mentah hadirat Allah dalam hatinya. Iblis tidak mengizinkan barang sedetikpun dari Allah untuk hinggap dalam hatinya. Maka Iblis menghujat Allah. Iblis lupa bahwa dia hanyalah ciptaan Allah. Dari yang kosong [ex-nihilo] Allah mewujudkan malaikat lucifer dan di dandani dengan demikian indahnya tetapi segala talenta yang Allah berikan apda lucifer menjadi satu kesombongan oleh Iblis.

Allah menciptakan baik Malaikat mahupun Manusia dengan satu autoriti dan kewibawaan untuk memilih. Allah memberikan talenta sedemikian buat ciptaan-Nya. Ini adalah standard Allah. Ia bukanlah kelemahan Allah tetapi itu merupakan standard dari Allah sendiri. Allah menciptakan kita sebagai mahkluk yang merdeka.

Akhirnya Lucifer yang di kasihi Allah itu mengambil keputusan sendiri untuk tidak meresponi kasih Allah. Umpama cinta bertepuk sebelah tangan.. demikianlah Allah di tolak oleh Iblis dari hatinya. Lucifer kini jadi Iblis. Iblis yang baopa kepada kejahatan.

Namun alkitab menyatakan bahwa segala yang noda dan cela, segala yang tidak ada hadirat-Nya dalam dirinya tidak akan bertahan dalam hadirat Allah dan akan hangus. Demikianlah Iblis dan segala yang jahat tidak mampu bertahan dengan hadirat-Nya yang penuh kemuliaan dan kekudusan.

Allah bukan membalas dendam akan apa yang Iblis lakukan selama iblis berdosa, tetapi Allah menyatakan diri-Nya yang sesungguh-Nya dan ternyata kemuliaan dan kekudusan Allah tidak dapat berkompromi dengan segala noda dan cela dan inilah yang membinasakan segala yang berdosa di hadapan Allah.