Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

Kenapa Perlu Ke Gereja?

Ibrani 10: 25

Sepanjang minggu ini, Hospital di mana saya bertugas telah diaudit oleh juruaudit dalam Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya telah membekukan semua cuti kakitangan sepanjang proses pengauditan ini dijalankan. Maka sepanjang minggu ini kami warga pengurusan hospital khususnya, agak 'sibuk' dan 'kucar-kacir' sedikit :)

Sepanjang tempoh ini saya ditegur betapa penting adanya satu jalinan kerjasama yang erat di kalangan wargakerja di dalam sesebuah oraganisasi. Tentu sekali di dalam organisasi tersebut ada staf yang lebih cekap dan ada yang kurang cekap. Sebab itulah setiap orang (staf) harus memainkan peranan masing-masing dengan berkesan untuk membolehkan fungsi jabatan bergerak dengan baik. Untuk lebih memantapkan lagi sesuatu proses kerja dan perkhidmatan, adakalanya staf-staf berkenaan perlu melakukan lebih perkara melangkaui senarai tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Adakalanya juga seseorang staf perlu membantu rakan-rakan kerja yang lain sehingga setiap staf tersebut dapat melaksanakan segala tugas dengan prestasi yang optimum.

Perkara ini menimbulkan kembali persoalan dalam diri saya tentang orang-orang Kristian yang pergi ke gereja untuk menghadiri kebaktian pada hari-hari atau waktu-waktu kebaktian dijalankan. Samada anda setuju atau tidak, hakikatnya ramai orang (Kristian) pada hari ini yang tidak suka ke gereja atau sengaja tidak mahu ke gereja, tetapi mengaku sebagai orang yang percaya dan mengaku Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat. Mereka seringkali berkata,"Untuk apa ke gereja? Pergi ke gereja bukannya syarat untuk masuk syurga. Malah ramai orang yang pergi ke gereja pun belum tentu masuk syurga!" Tidak kurang juga yang datang ke gereja, tetapi hanya sebagai penonton dan atau menjadi penggosip. Wah! pernyataan-pernyataan ini kadang-kadang mencabar iman kita dan melemahkan semangat sesetengah orang untuk bergiat aktif dalam pelayanan.

Setelah kita menjadi orang percaya, kenapa agaknya kita perlu ke gereja? Kenapa perlu mengikuti kebaktian/persekutuan orang-orang percaya? Mari kita perhatikan perkara-perkara berikut;

1. Tuhan hadir dalam perkumpulan orang-orang percaya. (Mat. 18: 19-20)

Apabila kita menjadi orang percaya (Kristian), kita mempunyai banyak kerinduan dalam diri kita. Banyak perkara yang kita ingin ungkapkan kepada Tuhan. Banyak perkara yang kita ingin nyatakan dalam doa kita kepada-Nya. Namun, segala kerinduan ini hanya menjadi keinginan-keinginan yang sia-sia tanpa kehadiran Tuhan dalam doa kita. Hal ini sangat penting kerana tanpa kehadiran Tuhan, kita tidak boleh berbuat apa-apa.

Tuhan Yesus berkata bahawa jika ada dua orang yang sepakat untuk meminta sesuatu, Bapa di syurga pasti akan mengabulkannya, sebab bila ada 2/3 orang yang berkumpul di dalam nama Yesus, Tuhan ada di tengah-tengah mereka. Tentu sekali setiap kita rindu agar doa-doa kita dikabulkan oleh Bapa. Nyata sekali di sini bahawa salah satu rahsia doa yang dijawab oleh Tuhan ialah berdoa bersama-sama, dan sudah tentu berdoa bersama-sama ini lebih baik apabila kita berada di dalam persekutuan orang-orang percaya.

2. Saling mendorong dan dikuatkan di dalam Kasih Tuhan. (Ibrani 10: 24)

Cuba kita perhatikan arang yang digunakan untuk memanggang sate atau ikan. Arang yang banyak diperlukan supaya apabila ia dibakar, api akan kekal membara dalam jangkamasa yang diperlukan sehingga makanan tersebut masak. Cuba pula kita bayangkan jika seketul daripada arang yang membara itu diasingkan daripada arang-arang yang lain. Untuk seketika ia mungkin masih membara, tetapi lama-kelamaan apinya akan semakin kecil dan akhirnya padam.

Demikianlah juga halnya dengan kerohanian kita. Kita perlu bersama-sama dengan orang-orang percaya yang lain supaya 'api Roh' yang membara dalam diri kita akan dapat kekal membara sehingga Yesus datang kembali menjemput kita. Mungkin ada yang berpendapat bahawa dia tidak mendapat apa-apa berkat bila datang ke gereja . Jika hal itu terjadi, mungin ia bermakna bahawa andalah yang berperanan untuk menguatkan orang lain. Kadang-kadang kehadiran kita saja dalam sesuatu persekutuan akan membuatkan ada orang lain akan rasa terdorong tanpa kita perlu berkata apa-apa pun. Apa lagi jika kita semakin lemah di dalam Tuhan, walau pun tidak bersemangat (sebab tidak bersemangat itu perngaruh Iblis) 'paksa' saja diri untuk datang ke gereja/persekutuan supaya kita boleh mendapat dorongan daripada saudara-saudara seiman yang lain.

3. Supaya kita boleh terlibat di dalam pelayanan (1 Kor. 12: 27-28)

Firman Tuhan berkata bahawa gereja merupakan Tubuh Kristus. Yesus ialah kepala dan kita merupakan anggota-anggota Tubuh Kristus. Setiap di antara kita mempunyai pernanan masing-masing dalam 'tubuh' ini. Kita semua 'dipanggil' sesuai dengan kurnia yang Tuhan telah anugerahkan ke dalam diri kita masing-masing. Itu bermakna bahawa tidak boleh tidak, kita harus melakukan 'bahagian' kita dalam 'tubuh' ini.

Ada orang yang diberikan kurnia untuk menjadi rasul, sebahagian lagi menjadi nabi, dan yang lain menjadi guru. Ada yang diberi kurnia untuk melakukan mukjizat-mukjizat, menyembuhkan orang sakit, menolong orang lain, menjadi pemimpin, atau pun bertutur dalam pelbagai 'bahasa yang ajaib'. Di gereja ada banyak pelayanan yang boleh dibuat. Daripada pelayanan di mimbar; mungkin sebagai penyampai Firman Tuhan, pemimpin pujian, pemuzik, penari, sehinggalah kepada membersihkan ruang gereja, menyusun kerusi, menyambut jemaat, mengedarkan buletin gereja dan kantung persembahan. Semua pelayanan ini penting dan kita berperanan untuk turut terlibat mengikut kurnia yang Tuhan telah berikan kepada diri kita masing-masing.

Ada banyak lagi sebab lain kenapa kita perlu ke gereja seperti belajar firman Tuhan bersama-sama, supaya mendapat lebih kecenderungan untuk bertemu pasangan hidup di kalangan orang-orang percaya, dan sebagainya. Namun saya hanya memberi sedikit penjelasan tentang perkara-perkara di atas kerana hal-hal tersebut amat mustahak dan semua sebab-sebab yang lain adalah bersangkut-paut dengannya. Oleh itu saudara-saudara seiman marilah kita, apa pun denominasi gereja kita, terus mempunyai kerinduan untuk pergi ke gereja, mengikuti kebaktian/persekutuan dan semakin bertumbuh di dalam Tuhan. Tuhan memberkati kita semua. :)
This article is 

1 comment:

momogun said...

thanks for the info.

saya sangat di berkati dengan perkongsian ini.

gbu dr nells.