Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

Kekuatan Mengatakan "Ya"

Salam sejahtera saudara saudari pembaca yang setia mengikuti perkembangan Virtual Church ini. Kebelakangan ini saya mengalami pelbagai kesibukan yang tidak memungkinkan saya kongsi sesuatu di blog ini. Walaupun sudah menetapkan priority tertentu dalam aktiviti/ tugas harian tapi nampaknya apabila saya merenung sejenak beberapa bulan yang sudah, ternyata terlalu banyak perkara ‘unplanned’ yang biasanya dianggap ‘urgent’ sehingga aktiviti terancang terabai. Disamping tugas merawat pesakit, memimpin satu organisasi yang terdiri daripada 400 anggota menjadik an rutin harian 8-8 (8 am- 8 pm) perkara biasa. Jemputan-jemputan ceramah/ kongsi Firman Tuhan adalah salah satu aktiviti yang menambah warna kepada rutin harian selain aktiviti-aktiviti keluarga yang sememangnya banyak. Akhirnya perkara-perkara ini akan menjadi beban dan masalah kepada saya jika tidak dikendalikan dengan betul.

Sebagai seorang yang percaya dan diselamatkan, kita tidak dapat lari dari pergumulan hidup ini malah kita pasti akan mengalami cabaran dan dugaan seperti di atas kerana Tuhan tidak menjanjikan hidup yang ”problem free”. Namun kita harus bersyukur kerana perkara-perkara inilah yang menjadikan kita bertambah kuat dan matang, sudah tentu dengan pertolongan dan kekuatan Roh Allah sendiri. Baru-baru ini saya diingatkan tentang sebuah buku yang bertajuk ‘ Kekuatan Mengatakan Tidak’. Buku ini sangat memberi kesan kerana ia mengingatkan saya betapa banyak masalah yang timbul apabila kita mengambil keputusan yang bertentangan dengan rasional akal fikiran kita semata-mata kerana tidak mahu mengecewakan orang lain. Prioriti kita terabai kerana mengurus hal-hal ‘urgent’ orang lain hingga satu ketika kita berkata ”Ah! Kan baik saya tidak mempedulikan permintaan si Alan tadi, kalau dia di posisi saya sudah pasti dia tidak akan ambil peduli dan menolong saya dalam permasalahan begitu.”

Seorang teman rapat saya telah menegur saya apabila saya berkongsi dengan beliau bahawa saya mungkin perlu KEKUATAN MENGATAKAN TIDAK kepada beberapa jemputan yang membuat saya bertambah sibuk sehingga beberapa perkara ‘prioriti’ terabai. Tetapi beliau mengingatkan saya bahawa yang saya perlukan adalah KEKUATAN UNTUK MENGATAKAN YA. Setelah berfikir sejenak, memang benar bahawa kita juga perlu KEKUATAN UNTUK BERKATA YA dalam perkara-perkara yang memuliakan nama Allah Bapa kita yang empunya KEKUATAN UNTUK BERKATA YA tersebut. Dalam Mazmur 46: 2 mengingatkan kita bahawa, “Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.”

Banyak orang mengalami tekanan semasa krisis ekonomi yang melanda sejak awal tahun ini. Tidak kurang juga orang yang kehilangan sumber pencarian, bankrup dan akhirnya bunuh diri. Mereka yang tidak mengandalkan Tuhan dalam hidup mereka mempunyai risiko bertindak sedemikian. Kita sebagai orang percaya perlu kuat dalam menghadapi masa kemelesetan ekonomi dunia ini. Jadi bukan kerana kita hebat tetapi Tuhan kita yang kuat. Bukan kerana si aku kuat/hebat tetapi oleh Roh Tuhan kita akan tetap kuat.

Ada satu jenis kayu istimewa yang dinamakan KAYU BESI dan banyak digunakan untuk membina jeti di laut. Kayu ini semakin lama terendam dalam air laut (masin), ia menjadi semakin kuat dan teguh. Itulah sebabnya kayu pilihan yang lebih baik digunakan untuk membina jeti berbanding besi yang cepat berkarat dalam air laut. Kehidupan Orang Kristian seharusnya seperti kayu ini. Semakin banyak cobaan/ cabaran hidup ini, kita menjadi semakin kuat. Jaminan Tuhan kita yang patut meyakinkan kita adalah bahawa tiada cubaan yang melebihi kemampuan kita untuk menghadapinya; Tuhan tidak akan benarkan cubaan yang melampaui kekuatan kita.

Apabila saudara menghadapi dilema dalam hidup ini, ingatlah bahawa saudara boleh menghadapinya. Katakan kepada diri bahawa ini adalah cuma salah satu cubaan yang pasti akan dapat diatasi dan pasti akan berlalu. Mintalah kepada Tuhan supaya diberi KEKUATAN untuk “Berkata Ya” terhadap perkara-perkara yang memuliakan namaNya dan juga “Berkata Ya” terhadap masalah-masalah yang datang melanda. Inilah peluang keemasan untuk saudara dibentuk menjadi semakin baik dan semakin kuat dalam hidup ini. Tuhan kita tidak pernah berubah. Walaupun manusia selalu berubah tetapi Tuhan adalah setia dan adil kerana Dia tidak dapat menyangkal diriNya dengan menjadi tidak setia. Maz 37:39 mengingatkan kita bahawa “Orang-orang benar diselamatkan oleh Tuhan; Ia adalah tempat perlindungan mereka pada waktu kesesakan;”

Tuhan memberkati!
This article is 

2 comments:

Gunung Kinabalu said...

Perkongsian yang sangat membina terutama diri saya. Kita perlu kawal masa kita dengan hikmat dari Tuhan. terima kasih dan Tuhan memberkati

Emma said...

Hi saudara ison, secara peribadi saya cukup di berkati dengan artikal ini,segala sesuatu tuhan yg terutama.