Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

KESAN KELAHIRAN YESUS

Lukas 2: 1-14, Matius 2: 1-11

Shalom! Semoga semua rakan pengunjung dan pembaca blog ini dalam keadaan yang baik dan sihat sejahtera. Semoga pimpinan dan pertolongan Tuhan terus menyertai kita semua. Pada musim Krismas tahun lalu saya telah memuatkan artikel tentang 'Kenapa Tuhan Menjadi Manusia?'. Kali ini saya ingin menulis mengenai kesan 'kelahiran' Yesus dalam hidup manusia.

Lebih 2000 tahun yang lalu Yesus telah dilahirkan di Betlehem ketika pembancian penduduk sedang dijalankan atas perintah Kaisar Agustus, pemerintah empayer Roma pada ketika itu. Ibubapa Yesus, Yusuf dan Maria, terpaksa menumpang di dalam kandang binatang kerana tidak ada lagi rumah tumpangan untuk disewa. Di situlah Yesus dilahirkan, lalu diletakkan di dalam palungan (bekas untuk menempatkan makanan binatang). Tempat itu tentulah kotor dan sudah tentu Yusuf dan Maria telah berusaha untuk membersihkan kawasan tersebut untuk seorang bayi dilahirkan.

Alkitab menyatakan bahawa Tuhan mengetuk pintu hati manusia, dan sesiapa yang membukanya Dia akan masuk ke dalam. Dalam konteks kehidupan, Yesus ingin 'lahir' di dalam hati setiap manusia. Dia memilih hati kerana di situlah tempat yang paling kotor dalam hidup seseorang manusia. Di sanalah segala kedengkian, kemarahan, kebencian, dan segala keinginan tentang dosa. Dia memilih untuk 'lahir' di tempat yang kotor supaya tempat itu (hati manusia) dibersihkan.

Ketika Yesus lahir terdapat sekumpulan gembala yang sedang menggembalakan domba di padang. Mereka telah didatangi oleh sekumpulan malaikat untuk memberitahu tentang kelahiran Yesus. Para malaikat itu bernyanyi memuji Tuhan dan berkata bahawa damai dan sejahteralah manusia di bumi. Yesus ingin lahir dalam hidup (hati) manusia kerana dia mahu memberikan damai di dalam hati dan hidup yang sejahtera.

Pada waktu Yesus dilahirkan juga terdapat sekumpulan pakar kajibintang dari Timur melihat bintang terang di langit yang menandakan seorang raja di Israel telah dilahirkan. Mereka sanggup menempuh perjalanan yang jauh dan sukar hanya kerana ingin menyembah dan memberikan persembahan yang terbaik, berupa emas, kemenyan, dan mur kepada Yesus.

Yesus ingin lahir dalam kehidupan (hati) manusia agar manusia menjadi penyembah2 yang benar. Seseorang yang sudah menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat hidupnya pastilah seorang penyembah Tuhan yang sejati. Seperti para kajibintang itu, dia pasti akan menjadi dan sentiasa ingin memberi apa yang terbaik daripada hidupnya untuk memuliakan Tuhan.

Sempena Krismas ini, saya ingin mengajak setiap orang percaya untuk merenung kembali kehidupan kita masing2. Jika selama ini ada di antara kita yang masih kotor dan busuk hatinya, masih tidak memiliki damai dan tidak suka memberi damai kepada orang lain, serta selalu berkompromi untuk memberikan yang terbaik demi kemuliaan Tuhan, mungkin Yesus sebenarnya belum benar2 'lahir' di dalam hati dan hidupmu.

Nota: Terimalah 'kelahiran' Yesus yang sejati, nescaya hatimu akan disucikan, hidupmu akan penuh damai sejahtera dan dirimu akan menjadi penyembah yang menyembah Tuhan di dalam roh dan kebenaran. Tuhan memberkati kita semua.
This article is 

No comments: