Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

ANUGERAH YANG TERINDAH

Shalom! Kiranya damai sejahtera dan kasih kurnia Tuhan sentiasa menyertai pembaca sekalian. Walaupun tanggal 25 Disember sudah berlalu, tetapi di kebanyakan tempat sambutan perayaan Krismas masih lagi berlangsung meriah, bahkan sehingga menjelangnya tahun baru. Di kesempatan ini, masih belum terlambat untuk saya mewakili rakan2 di VCM mengucapkan selamat menyambut perayaan Natal dan Tahun Baru kepada semua pembaca setia blog ini.

Krismas atau Natal berbicara tentang kelahiran Tuhan Yesus lebih 2000 tahun yang lalu. Dialah peribadi dalam berita baik atau injil yang hendak disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai 'anugerah yang terindah'. Sempena Natal tahun ini saya ingin mengongsikan mesej firman Tuhan tentang 'penyembahan yang sejati' terhadap anugerah ini. Saya mengambil teks petikan firman Tuhan yang terdapat dalam Matius 2: 1-12.

Cerita alkitab ini mengisahkan tentang beberapa orang pelawat dari Timur Yerusalem yang telah datang untuk menyembah dan memberikan persembahan kepada Yesus yang telah dilahirkan sebagai ‘Raja Orang Yahudi’, berdasarkan bintang yang mereka telah lihat. Terdapat banyak versi cerita (di luar alkitab) yang mencadangkan identiti para pelawat ini, tetapi apa yang jelas di dalam alkitab mereka hanya disebut sebagai magi atau wise men dalam terjemahan Bahasa Inggeris. Manakala dalam terjemahan Bahasa Malaysia/Indonesia mereka disebut sebagai orang2 majus atau ahli2 kaji bintang.

Para penyelidik alkitab berpendapat bahawa para pelawat ini berkemungkinan besar berasal dari Persia atau Babilonia. Mereka sama ada kelompok elit (para imam) penganut agama Zoroastrian di Persia yang percaya kepada satu Tuhan atau keturunan dari orang2 'bijaksana' di Babilonia yang pernah diketuai oleh nabi Daniel ketika umat Israel berada dalam pembuangan di sana satu ketika dahulu (Daniel 2: 48).

Selepas kerajaan Babilonia dijatuhkan oleh kerajaan Persia di sekitar abad ke-6 sebelum Masihi, Raja Cyrus telah membenarkan umat Israel pulang ke Yerusalem dan membina semula kota tersebut. Tetapi sebahagian daripada mereka telah menetap di Babilonia. Tentu mereka mengetahui nubuatan nabi Daniel tentang seorang Raja yang akan lahir untuk menjadi penyelamat umat Israel (Daniel 9: 24-27), dan sedang menanti-nantikan saat penggenapannya.

Bintang yang dilihat oleh para pelawat itu pula berkemungkinan bukanlah bintang sebenar kerana ia bergerak memandu mereka lalu berhenti di atas Yesus yang mereka temui sedang bersama ibunya di dalam sebuah rumah di Bethlehem. Besar kemungkinan bintang itu merupakan malaikat Tuhan yang bersinar kerana malaikat juga disebut sebagai bintang di dalam alkitab; bintang2 fajar (Ayub 38: 7) dan bintang2 di langit (Wahyu 12: 4).

Alkitab juga tidak menyebut bahawa para pelawat itu hanya seramai tiga orang dan telah menemui Yesus ketika Dia masih lagi bayi seperti anggapan kebanyakan orang. Boleh jadi bilangan mereka kurang dari tiga orang atau lebih praktikal lagi dalam satu rombongan yang terdiri daripada 10-20 orang. Jarak di antara Persia/Babilonia dan Yerusalem ialah di sekitar 800-900 batu dan perjalanan perlu merentasi padang pasir yang luas.

Dengan hanya berjalan kaki dan menunggang unta, tentu sekali para pelawat itu mengambil masa berbulan2 bahkan tahun untuk sampai ke Yerusalem. Itulah sebabnya setelah raja Herodes mengetahui bahawa mereka telah kembali ke negeri asal mereka melalui jalan lain tanpa memberitahu di mana Yesus berada, dia menjadi sangat marah lalu memerintahkan supaya semua kanak2 di Bethlehem yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh (Matius 2: 16).

Persembahan para pelawat dari Timur yang berupa emas, kemenyan, dan mur pula ditafsirkan sebagai satu simbolik pengurapan kepada seseorang yang penting menurut upacara keagamaan orang2 Yahudi. Emas berbicara tentang pengurapan Yesus sebagai raja, bahkan Raja di atas segala raja (Wahyu 19: 16), kemenyan berbicara tentang pengurapan Yesus sebagai imam agung dan bahkan Tuhan (Ibrani 4: 14), dan mur pula berbicara tentang pengurapan Yesus sebagai nabi/manusia yang menjadi korban pengampunan dosa yang sejati (Efesus 1: 7).

Pelbagai tafsiran dan andaian lain boleh dibuat tentang cerita Alkitab ini, namun satu hal yang pasti, kisah ini telah memberitahu kita tentang kesungguhan iman para pelawat itu mengembara jauh dari Timur hanya untuk mencari Yesus. Siapapun para pelawat ini, mereka tetap dilihat sebagai orang asing di Yerusalem. Tetapi merekalah yang lebih dahulu datang menyembah dan mempersembahkan hadiah kepada Yesus berbanding para imam dan guru Taurat sendiri yang boleh dikatakan sentiasa berada di Yerusalem (Yohanes 1: 11). Mereka (para imam dan guru Taurat) mengetahui tentang Yesus, tetapi tidak menerimaNya sebagaimana para pelawat misteri ini. Mereka tidak mengakui Yesus sebagai Tuhan dan Raja yang mereka  telah nantikan sekian lama.

Para pelawat ini mungkin telah meninggalkan isteri dan anak2 mereka untuk satu pengembaraan yang jauh dan penuh cabaran. Perhitungkan harta yang telah mereka bawa dan habiskan, masa yang mereka telah 'buang' (mereka ke Yerusalem bukan untuk berdagang atau mencari pekerjaan) dan bahaya (ribut pasir, serangan penyamun dan binatang liar/berbisa) yang mereka mungkin hadapi di sepanjang perjalanan. Tetapi mereka sanggup 'berkorban' hanya kerana seorang peribadi yang baru lahir bernama Yesus.

Bagaimana dengan kita saudara/i? Seperti mana para imam dan guru Taurat, kita mungkin kelihatan kuat beragama kerana rajin ke gereja, aktif dalam pelayanan dan bahkan mungkin berpengetahuan luas tentang alkitab, tetapi sudahkah kita mengenali Yesus seperti mana para pelawat dari Timur itu? Sudahkah kita mengakui dan menerimaNya sebagai Tuhan dan juruselamat hidup kita sendiri? Sudahkah kita datang kepadaNya untuk menyembah dan memberikan persembahan yang terbaik kepadaNya? Atau kita juga seperti raja Herodes yang hanya ingin membunuh Yesus?

"Berilah yang terbaik dan jadilah yang terbaik." Sabda Tuhan Juruselamat kita.
0 comments
This article is 

HANYA SATU SAJA YANG PERLU

Hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat sibuk. Sibuk mengejar harta duniawi. Sibuk mengejar kedudukan dan pangkat. Sibuk menuntut ilmu dan pendidikan dunia. Sibuk mencari keadilan melalui balas dendam. Sibuk bergosip tentang kelemahan orang lain. Sibuk melayan kedukaan hati sendiri. Sibuk memikirkan dan melakukan segala sesuatu yang ada di bawah langit. Tetapi selalu terlupa untuk mengejar harta dan ilmu syurgawi. Kita lupa memikirkan perkara-perkara yang di atas kerana tawaran 'istimewa' yang berlambakan di sana sini mencuri perhatian kita lebih daripada tawaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Betapa ruginya bagi kita yang tertipu untuk melabur seluruh masa dan tenaga dalam kesia-siaan. Semata-mata kerana mengejar sesuatu yang tak pernah memuaskan mahupun mendamaikan jiwa.

Saat ini, apakah anda penat kerana telah lama bergelut mencari kestabilan harta duniawi yang tak kunjung tiba? Apakah anda terlalu letih kerana sekian lama diperlakukan dengan kejam oleh pasangan, oleh keluarga, oleh majikan, oleh rakan sekerja, oleh masyarakat? Apakah anda lelah kerana dari dulu dipandang tidak berharga oleh masyarakat sekeliling? Apakah anda sudah tidak berdaya untuk meneruskan walau hanya selangkah lagi ke hadapan kerana seluruh tenaga anda sudah dihabiskan untuk memperbaiki diri yang berkali-kali hanya menemui kegagalan? Apakah anda telah berputus asa kerana mengejar tawaran dunia yang tak pernah memuaskan? Apakah anda sangat merindukan satu saat yang teduh, bebas dari segala kelelahan? Inginkan kebebasan dari segala beban hidup yang memenatkan?

Ingatlah, masih ada Peribadi yang sanggup melepaskan anda daripada semua pikulan beban yang melesukan jiwa. Seperti teguran Yesus kepada Marta, Yesus berkata kepadamu hari ini, "....Engkau khuatir dan menyusahkan diri dengan banyak perkara, tetapi hanya satu saja yang perlu: Maria telah memilih bagian yang terbaik, yang tidak akan diambil dari padanya" (Luk 110:41). Apakah bagian terbaik yang dipilih Maria? "Maria duduk dekat kaki Tuhan dan terus mendengarkan perkataan-Nya." (Luk 10:39).

Dalam kepenatan akibat kesibukan kita untuk memenuhi keinginan jiwa kita; dalam tekanan akibat beban hutang, beban masalah kesihatan, beban masalah rumahtangga, beban kegagalan dan kekecewaan yang 'menyibukkan' fikiran kita, sesungguhnya Tuhan menyediakan jalan penyelesaian yang amat sederhana sekali. Hanya satu saja yang perlu, berhentilah daripada segala kesibukan itu. Hanya duduk dekat kaki Yesus dan berdiamlah untuk mendengar FirmanNya. Berdiamlah dan biarkanlah Dia bertindak bagi hidupmu agar engkau dan seluruh dunia tahu bahawa Dialah Tuhan, Raja atas segala raja, Juruselamat dunia. Pastinya kelegaan dan damai sejahtera akan menjadi milikmu.

0 comments
This article is 

SAAT KECEWA DAN TERLUKA

Saya teringat sebuah lagu yang popular dinyanyikan oleh pemuda-pemudi Kristian setempat suatu ketika dahulu. Antara bait2 lagu tersebut ialah seperti berikut;

Pernahkah kau dikecewakan,
Pernahkah dirimu terluka,
Oleh teman yang pernah bersamamu,
Maafkanlah dia jangan benci...

Aku juga pernah mengalami,
Seperti yang pernah kau rasakan,
Namun aku memandang pada Yesus,
Sendirian namun tak kesepian...

Tidak seorang pun di antara kita yang tidak pernah mengalami kekecewaan dan kelukaan selama hidup ini. Kita mungkin dikecewa dan dilukai oleh orang2 tersayang atau teman2 di sekitar lingkungan hidup kita, oleh keadaan2 persekitaran yang tidak seturut kemahuan kita atau juga oleh keadaan diri sendiri yang tidak kita ingini. Kita juga mungkin rasa kecewa dan terluka kerana sepertinya pertolongan Tuhan begitu jauh sekali?

Saat kita kecewa dan terluka, seringkali kita merasakan seperti diri teraniaya. Ketika ditinggalkan kekasih, ketika tidak sehaluan dengan suami/isteri atau ahli keluarga dan teman2 lain, kita sering merasa seperti sendirian menghadapi situasi tersebut. Sering kali juga kita berfikir betapa malangnya diri dan seperti seluruh dunia sedang menentang kita.

Kita bertanya, "Di manakah Tuhan dan kenapa Tuhan membiarkan saya menghadapi kesukaran ini? Saya sudah berusaha melakukan yang baik untuk orang lain, mengasihi dan melayani Tuhan dengan sebaik mungkin, tetapi kenapa saya harus dikecewa dan dilukai begini? Di manakah keadilan Tuhan?"

Jika saudara/i pernah atau sedang mengalami kekecewaan dan kelukaan, saudara/i tidak sendirian. Sekurang2nya saudara/i tidak sendirian pernah memikirkan persoalan2 di atas kerana ramai orang atau bahkan mungkin setiap orang percaya juga pernah bertanyakan soalan yang sama apabila berhadapan dengan situasi yang sukar dan menyakitkan. Perbezaannya hanyalah pada iman, pengharapan dan kasih yang dipertahankan.

Saat mengalami kekecewaan, adakah kita masih tetap percaya bahawa Tuhan masih sedang mengawal keadaan dan sentiasa ingin menolong kita? Adakah kita masih terus meletakkan pengharapan terhadap penggenapan janji2 Tuhan yang tampaknya masih belum kelihatan? Saat hati terluka, adakah kita masih mahu memaafkan orang yang melukai kita? Adakah kita masih mahu mengasihinya seperti Yesus mengasihi kita?

Tuhan sebenarnya lebih dahulu kecewa dan terluka hati kerana manusia yang dicipta serupa dan segambar denganNya telah memilih untuk tidak taat dan setia pada perintahNya. Tetapi adakah selepas itu Tuhan terus membiarkan manusia diburu oleh maut tanpa diberi peluang untuk menemui jalan keselamatan? Jika kita berharap penuh padaNya, adakah Tuhan benar2 mengecewakan kita? Atau kita sebenarnya kecewa dan terluka kerana meletakkan harapan pada tempat yang salah?

Di saat kita mengalami kekecewaan dan kelukaan, pilihlah untuk menaikkan ucapan syukur  kepada Tuhan dan terimalah keadaan itu sebagai rahmatNya, kerana sesungguhnya Tuhan itu dekat kepada orang-orang yang patah hati, dan Dia menyelamatkan orang-orang yang remuk jiwanya (Maz. 34: 18). Persembahkanlah pujian kepada Tuhan kerana sesungguhnya jiwa yang hancur; hati yang patah dan remuk adalah korban terbaik yang berkenan kepadaNya (Maz. 51: 19).

"Bagi orang percaya, kekecewaan adalah pernyataan Tuhan bahawa Dia ingin memberi yang lebih baik, dan bahkan yang terbaik." -odeshnm
3 comments
This article is 

THE WOMAN OF MY LIFE

"Charm is deceptive, and beauty is fleeting; but a woman who fears the LORD is to be praised." (Proverbs 31: 30)

This is the day that the Lord has made. We will rejoice and be glad in it... This simple song reminds me truly of God's omnipotence, omnipresence, and benevolence. As he already counted the days of our life, He made each day so special that we may rejoice and be glad in it. We can and should be glad not because everyday is so easy for us to live in, but because He is the Lord of the day. His governance of the day is enough assurance for us that He is always there by our side even at the lowest point of our life.

But human is human. Everywhere we go we will find people grumbled almost about everything. About all the problems that occur or anticipated to occur on that day. We seldom hear words of thanksgiving that the Lord actually has made them the day as another opportunity to live a better life. This is not only true for the non-believers but also to the many believers. We tend to see all the negative things of the day and almost blind to see the truth that the day itself is already a blessing to each of us.

Though there are many difficulties in life, I always consider myself not as a lucky, but as a blessed person. The list is too long for me to write them all down here. But among the many blessings that I've received from the Lord is my lovely wife. We both know that she is not a perfect woman, and so do I as a man, but she is no doubt my perfect match; a suitable helper God has made for me.

Today is my wife's birthday. It has been a routine for me to give her present on her birthday, and no exception for this year. She has been there in my best and in my worst. I know it's not easy for her to be my 'helper' with all my weaknesses and failure to recognize all her sacrifices and faithfulness. So, I regard it as one of those right days to give her something as a token of appreciation. But more than that I want her to know that I love her so much as I love myself.

This is the day that the Lord has made. On the same date many years ago, the LORD God caused me to fall into deep sleep. While I was sleeping, he took one of my ribs, from it created my suitable helper, and  at His appointed time, brought her to me. When I woke up, the First Man's voices echoed into my ears, "This is now bone of my bones and flesh of my flesh; she shall be called 'woman', for she was taken out of man." (Genesis 2: 23)

Blessed birthday to you my dear wife.
1 comments
This article is 

KALAHKAN KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

Esok merupakan hari terakhir bagi bulan September tahun ini. Sebelum bulan ini berlalu saya ingin tinggalkan satu perkongsian sebagai renungan kita bersama.

Sebelum ini, dalam blog kimaragangwagu.blogspot.com, saya ada mengongsikan tentang fenomena facebook yang melanda masyarakat seluruh dunia dewasa ini. Saya juga tidak terkecuali dari memiliki akaun facebook dan boleh dikatakan pengguna yang aktif juga.

Dalam artikel tersebut antara lainnya saya menyebut bahawa;

Sedar tak sedar fenomena ini telah memberi impak yang banyak baik kepada individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara. Di dalam FB sesiapa saja bebas untuk mengatakan apa saja; memuji, mengutuk, meluahkan kemarahan, kejiwangan, kepandaian, dan juga kebodohan. Oleh itu impaknya boleh jadi positif dan boleh jadi juga negatif, bergantung kepada siapa yang membuat kenyataan dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan.
 
Beberapa waktu kebelakangan ini saya perhatikan wujudnya satu budaya benci-membenci dalam facebook. Maka fan page yang bernada negatif seperti 'kami benci...', 'kami anti...', 'kami kutuk...' dsbg tumbuh bagaikan cendawan. Jika yang dibenci itu hanya sifat dan perbuatan yang jahat tidak mengapa, tetapi membenci peribadi itu sendiri bukanlah satu gambaran yang baik sebagai anak-anak Tuhan.

Saya terdorong untuk menyebut tentang dua peribadi yang dikatakan telah menghina negeri dan penduduk negeri Sabah di dalam facebook. Mereka ialah Mohammad Saufee B. Sehat yang menggunakan nama samaran Luca Lucas dan yang terbaru seorang pemuda bernama Amir Hazwan. Mereka antara lain menggelarkan negeri Sabah sebagai negeri di bawah sampah, busuk, kotor, miskin,  mundur, perempuan murah2, 'betina2' Sabah putih melepak macam mayat hidup dan sebagainya.

Sebagai manusia biasa tentu sekali rakyat Sabah (termasuk saya sendiri) panas hati membaca kenyataan2 yang mereka buat. Tetapi sebagai orang2 Kristian yang sejati apakah respon kita yang sewajarnya terhadap perkara seperti ini? Mengadukan masalah tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mengambil tindakan undang2 berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi saya adalah satu tindakan yang betul di sisi undang-undang negara.
 
Tetapi adakah tindakan membenci dan mengutuk mereka semula adalah tindak balas yang wajar dan konsisten dengan iman kepercayaan kita? Saya fikir tidak. Itulah sebabnya saya tidak like fan page 'kami benci...' yang telah dibuat terhadap mereka. Saya perhatikan kenyataan2 yang dibuat oleh ahli2 dalam fan page tersebut juga tidak kurang celuparnya. Persoalan saya ialah, jika dua peribadi ini mengutuk kita dan kita pun mengutuk mereka juga, apakah perbezaan kita dengan mereka dari segi nilai kebaikan dan kasih?

Renungkan ayat2 firman Tuhan berikut;

"Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: 'Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.' (Mat. 5: 43) "Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu." (Luk. 6: 27-28) "Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka. Jika kamu berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun berbuat demikian! (Luk. 6: 32-33)

Di kesempatan ini saya ingin mengingatkan dan mendorong semua saudara/i seiman agar jangan terlalu menurut emosi ketika berhadapan dengan situasi seperti ini lalu terjebak dalam perangkap amarah. Alkitab tidak menyatakan bahawa kita tidak boleh marah. Hanya ketika marah, jangan berbuat dosa. (Maz. 4: 4-5) Jangan kemarahan kita menyebabkan kasih dan kebaikan Tuhan dalam hidup kita sendiri menjadi tidak ber'cahaya' dan seperti tidak bermakna. Marilah kita renungkan hal ini bersama-sama; Tuhan membenci dosa, tetapi mengasihi orang yang berdosa.

"Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan." Amsal 10: 12
1 comments
This article is 

KEKAYAAN VS HIDUP SEJATI DAN KEKAL

Dua minggu yang lalu saya menyampaikan firman Tuhan di gereja SIB Pekan Tuaran berdasarkan tema pelayanan gereja tersebut sepanjang bulan Julai dan Ogos, iaitu Pelayanan Pendamaian. Saya memetik ayat firman Tuhan dalam Mat. 19: 19 yang berkata, "Hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri." Dalam ayat firman Tuhan ini saya telah menerangkan bahawa sebagai orang2 percaya yang sudah diperdamaikan dengan Bapa di syurga melalui Yesus, kita dituntut untuk melakukan perdamaian dengan ibubapa kita, orang lain dan juga dengan diri sendiri. Dan hukum yang terpakai ialah 'mengasihi'.

Namun jika kita meneliti keseluruhan petikan firman Tuhan (Mat. 19: 16-30) yang mengandung ayat di atas, kita akan dapati bahawa situasi sebenar ketika itu ialah seorang pemuda kaya telah bertanya kepada Yesus  tentang perbuatan baik yang boleh dilakukannya untuk memperoleh hidup sejati dan kekal. Yesus kemudian memberitahu pemuda kaya itu tentang  hal mentaati hukum Taurat yang Allah sudah sampaikan melalui Musa dahulu. Dengan bangga pemuda kaya itu menjawab bahawa dia sudah mentaati semuanya dan bertanya jika ada apa2 lagi yang dia perlu lakukan.

Sebenarnya jika manusia boleh diselamatkan hanya dengan mentaati hukum Taurat, maka tidak perlulah Yesus datang ke dunia ini untuk menebus dosa manusia. Malangnya pemuda kaya itu tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami hal itu. Ia terbukti apabila Yesus menyuruhnya menjual semua harta dan memberikannya kepada orang miskin, dan mengikut Dia. Ternyata pemuda kaya itu tidak sanggup untuk melepaskan segala kekayaannya untuk mengikut Tuhan.

Adakah kita memang tidak diperbolehkan untuk menjadi kaya atau kekayaan itu bertentangan dengan kehendak Tuhan? Secara peribadi saya berpendapat bahawa kekayaan itu sendiri bukanlah kekejian bagi Tuhan kerana banyak perkara di dunia ini, bahkan hal2 tentang pelayanan, memerlukan wang dan harta benda. Saya percaya, jika berpeluang, tidak ada orang normal yang tidak ingin menjadi kaya. Dan seperti pemuda dalam cerita alkitab ini, seseorang yang kaya pasti sukar untuk melepaskan kekayaannya untuk suatu perkara yang tidak dapat diterima oleh akal fikirannya (dalam konteks ini merujuk kepada tujuan mengikut Yesus).

Alkitab menyatakan bahawa semua orang sudah berdosa dan tidak ada seorang pun yang benar2 telah mentaati seluruh hukum Taurat. Itulah sebabnya ketika guru2 Taurat dan orang2 Farisi membawa seorang wanita berdosa di hadapan Yesus dan bertanya tentang hukuman yang setimpal dengan dosanya, Yesus  hanya berkata, "Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia." (Yoh. 8: 7) Tidak ada seorang pun yang berani berbuat demikian kerana mereka semua mengetahui dengan sungguh bahawa tidak ada seorang pun (termasuk guru2 Taurat  dan orang2 Farisi sendiri) yang tidak pernah berdosa dan telah mentaati hukum Taurat sepenuhnya.

Dalam kes pemuda kaya ini, kekayaannya telah digunapakai oleh iblis untuk membutakan mata rohaninya sehingga dia menjadi sombong dan angkuh. Keangkuhan dan kesombongannya itulah yang membuatkan dia tidak dapat melihat dan menerima Yesus sebagai jalan keselamatan hidupnya. Sebenarnya pemuda itu juga merupakan salah seorang pemimpin di kalangan bangsanya (Luk. 18: 18). Dia beranggapan bahawa dia sudah mentaati Taurat dan layak untuk menerima hidup sejati dan kekal. Saya melihat pertanyaannya kepada Yesus hanyalah bertujuan untuk mendapatkan pengesahanNya saja. Tetapi ternyata jangkaan pemuda kaya itu meleset.

Yesus cuba menyedarkan pemuda kaya itu dengan mengambil kekayaan yang dia miliki sebagai suatu perumpamaan. Seperti mana sukarnya dia melepaskan kekayaannya, demikian juga tidak mungkin dia sudah mentaati semua hukum taurat itu. Mesej yang Yesus mahu sampaikan kepada pemuda kaya itu sebenarnya ialah "Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang  kepada Bapa kecuali melalui Aku." (Yoh. 14: 6) Malangnya pemuda kaya itu tidak mengerti atau sengaja tidak mahu mengakui ketuhanan Yesus.

Mungkinkah ada di antara kita juga yang memiliki suatu 'kekayaan' yang membuatkan kita menjadi seperti pemuda kaya itu. 'Kekayaan' itu mungkin hanya berupa ketampanan, kecantikan, kemerduan suara, bakat luar biasa bermain muzik, penari yang hebat, khutbah yang efektif atau pangkat yang tinggi. Yesus berkata, "Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki (menyangkal diri), dan berikan wangnya kepada kepada orang miskin (melayani dengan sungguh2), maka kamu akan beroleh harta di syurga (berkat syurgawi). Kemudian marilah ikutlah Aku (memiliki hidup sejati dan kekal)." (Mat. 19: 21)

"Di saat kita mula merasakan diri kita semakin sempurna, kita sebenarnya semakin menjauh dari Dia yang menyempurnakan kita." -IsOn.
0 comments
This article is 

40 HARI BERPUASA DAN BERDOA

Maleakhi 4: 5-6
Hari ini merupakan hari pertama saudara kita yang beragama Islam menunaikan ibadah puasa. Saya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga sering 'mengerjakan' ibadah puasa Kristiani. Tidak tetap seperti mereka tetapi saya mengambil waktu untuk berpuasa apabila ada 'gerakan' untuk berbuat demikian. Saya juga terdorong mengikuti gerakan puasa dan doa anjuran gereja mahupun pertubuhan Kristian yang lain.

Satu perkara yang saya ingin tekankan di sini ialah puasa orang Kristian tidak bermakna jika tidak disertai doa. Itulah sebabnya ia disebut 'Berdoa dan Berpuasa' atau 'Berpuasa dan Berdoa'. Kenapa? Kerana isu utamanya ialah berdoa. Doa yang disertai dengan puasa sebenarnya mencerminkan kesungguhan dalam mendoakan perkara2 doa. Berpuasa saja tanpa berdoa tidak mempunyai apa2 makna di hadapan Tuhan. Tetapi jika kita berpuasa dan berdoa, ia seolah2 seperti kita menarik perhatian Tuhan sehingga Dia memalingkan wajahnya untuk menjawab keperluan doa kita.

Puasa orang2 Kristian bukanlah puasa yang diwajibkan. Ia hanya digalakkan dan terserah kepada kehendak, beban, dan kemampuan setiap individu yang terlibat. Tetapi panggilan untuk berdoa sepatutnya wajib. Ia kerana doa pada dasarnya ialah komunikasi antara kita dengan Tuhan. Kita perlu berhubung dengan Tuhan selalu agar kehidupan rohani kita sentiasa bernafas. Itulah sebabnya kekristianan tanpa doa secara rohaninya adalah mati. Orang yang bernafas pasti ingin makan, dan makanan rohani ialah firman Tuhan. Doa dan puasa yang didasari oleh firman Tuhan sesungguhnya doa yang efektif.

Setiap tahun National Evangelical Christian Fellowship (NECF) sebenarnya menganjurkan gerakan 40-Hari Berpuasa dan Berdoa di sepanjang bulan kemerdekaan. Semua umat Kristian di negara ini diseru untuk menyertainya kerana ia menandakan kesatuan kita untuk berdoa bagi negara yang kita kasihi ini. Bukan hanya berdoa tentang hal2 gereja dan keperluan anggota2 gereja, tetapi kesatuan untuk mendoakan para pemimpin negara, isu2 politik, ekonomi, sosial, dan kemasyarakatan yang berlegar di negara kita.

Gerakan doa dan puasa anjuran NECF pada tahun ini sudah pun bermula sejak 8 Ogos yang lalu dan akan berkakhir pada 16 September nanti. Tema pada tahun ini ialah "Menyatupadukan Genarasi" (Uniting the Generations), dan saya secara peribadi berpendapat bahawa ianya sangat releven dengan situasi negara kita pada masa ini.

Kita sedang berhadapan dengan keadaan di mana ada jurang di antara generasi. Generasi baru mula memberontak kepada generasi yang lebih dahulu, manakala generasi terdahulu disifatkan oleh generasi baru sebagai terlalu mengongkong dan 'memerintah'. Jurang ini kita tidak hanya lihat dalam masyarakt secara umum tetapi terjadi di dalam komuniti gereja dan keluarga sebagai unit asas masyarakat. Impak daripada jurang ini secara langsung atau tidak langsung menyebabkan peningkatan gejala2 sosial yang tidak sihat dalam masyarakat kita. Ramai anak2 muda yang tidak lagi mahu mendengar nasihat dan teguran orang2 tua. Banyak pasangan suami isteri yang tidak lagi sehaluan, dan ibu bapa juga ramai yang seakan2 sudah 'bosan' mendidik anak2 mereka.

Sebagai orang2 yang percaya Tuhan, kita tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh melihat nilai2 moral masyarakat kita semakin luntur. Kita tidak boleh hanya tahu mengomen pemimpin mana yang baik dan tidak baik. Tidak boleh hanya menjadi penonton dan pengguna yang pasif. Negara kita, politik, ekonomi dan sosial negara kita adalah tanggungjawab kita bersama. Sebagai orang2 Kristian yang mengaku bahawa Yesus mengasihi seluruh dunia ini, maka kita sebagai pengikut2nya harus bertindak sama menyatakan Kasih Yesus itu dengan mula berlutut, berpuasa dan berdoa untuk negara ini. Ayuh! Saudara2ku, kita sertai 40 Hari Berpuasa dan Berdoa 2010. Bersama kita 'menyatupadukan generasi' Malaysia.

Nota: Sudah lupakah kita tentang Yesus yang telah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam sebelum memulakan pelayanan-Nya? Atau sudah lupakah kita tentang peluh Yesus yang seperti darah menitik ke bumi ketika Dia berdoa dengan tekun di bukit Zaitun, saat sebelum Dia ditangkap? Berdoa (dan berpuasa) bukanlah 'zon keselesaan'. Ia adalah 'zon peperangan'.
0 comments
This article is 

YESUS KEKASIH JIWAKU

Shalom! Semua pembaca VCM. Semoga semuanya dalam keadaan yang baik dan diberkati Tuhan. Saya tidak berada dalam mood yang baik untuk blogging sebenarnya kerana beberapa hal peribadi, tetapi saat ketika saya merenungkan firman Tuhan, saya ditegur bahawa saya harus tetap kuat dan bersemangat untuk Tuhan, bahkan dalam keadaan yang amat sulit sekalipun.

Namun kali ini, saya sebenarnya bukan mahu berbicara tentang kesulitan peribadi atau sesiapa pun. Saya hanya ingin mengongsikan kebaikan Tuhan kepada kita semua. Selama ini kita mengambarkan Yesus sebagai seorang lelaki yang kacak dan berperawakan menarik (sekurang2nya melalui gambar2 dan tayangan filem tentang Yesus yang kita lihat). Tetapi bagaimanakah rupa paras Yesus sebenarnya seperti yang dinubuatkan oleh nabi Yesaya?

Musa, Yusuf, Daud, Samson, dan Daniel merupakan antara tokoh2 alkitab dalam perjanjian lama yang digambarkan oleh alkitab sebagai tampan/kacak. Tetapi bagaimana dengan Yesus? Perhatikan ayat2 berikut yang saya petik dalam Yesaya 53: 2-6, ketika Yesaya bernubuat tentang Yesus;

"TUHAN menghendaki hamba-Nya membesar seperti tunas yang tumbuh di tanah gersang. Rupanya tidak elok ataupun tampan sehingga kita tidak tertarik kepadanya. Tiada apa2 padanya yang menarik hati, yang membuat kita mengingini dia. Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. Tidak seorang pun hendak memandang dia; kita pun tidak mempedulikan dia.

Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritainya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya. Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing2 mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita." (Alkitab BM Berita Baik)

Petikan firman Tuhan ini sungguh2 telah menampar saya hari ini. Ketika saya rasa tertolak, rupanya penolakan yang Yesus alami lebih dahsyat lagi. Bahkan ketika ini pun masih terlalu ramai orang yang masih menolakNya. Ketika saya merasakan seperti menderita kerana hal2 di dunia ini, Yesus jauh lebih terseksa kerana mengalami penderitaan yang tidak selayaknya untuk Dia. Itulah yang membuatkan saya sentiasa menitiskan air mata ketika berdiam diri di kakiNya. Seluruh hidup ini tidak mampu membalas kebaikan Tuhan. Hanya hati ini yang selalu mensyukuri rahmatNya dan hidup ini terus berada dalam pimpinanNya.

Oleh itu saudara2ku, dalam perjuangan hidup kita seharian, janganlah kita lupa akan segala kebaikan Tuhan. Yesus bukannya tidak ada kedudukan yang tinggi di syurga. Tetapi Dia rela turun ke dunia menjadi seperti saudara dan saya (Filipi 2: 6-11). Mungkin Yesus tidak setampan saudara, tetapi Dialah satu2nya manusia yang tidak berdosa pernah hidup di muka bumi ini, sehingga Dia diperlayakkan untuk menjadi korban pengampunan dosa bagi segenap umat manusia. Ketika kita menolak Dia dan ketika kita sepatutnya tidak layak untuk dikasihi, Dia telah menunjukkan kasihNya dengan mati bagi kita. Bahkan mati di kayu salib.

Nota: "Ketika aku menghamparkan pandangan pada maya ini, aku tidak pernah tidak melihat kebaikan dan rahmat Tuhan bagiku. Terima kasih Tuhan atas kasih setiamu."
4 comments
This article is 

PEMUDA-PEMUDI YANG DINAMIK

Malam hari Jumaat dan sepanjang hari Sabtu yang lalu, saya berada di Haleluyah Retreat Centre, Kundasang. Saya dan beberapa lagi pemimpin gereja membawa pemuda-pemudi gereja SIB Pekan Tuaran untuk berretreat di sana. Retreat yang bertemakan 'Pemuda-Pemudi Yang Dinamik' itu telah disertai oleh seramai 26 orang pemuda-pemudi dan 4 orang penceramah (Pastor dan ahli2 Majlis Gereja SIB Pekan Tuaran sendiri).

Secara peribadi saya melihat kesungguhan para peserta di sepanjang retreat tersebut untuk belajar mengenali diri dan semakin dekat kepada Tuhan. Saya percaya bahawa mereka telah melalui satu pengalaman baru dengan Tuhan sehingga mereka semakin berkobar2 untuk mengasihi dan melayani-Nya. Itulah tujuan retreat tersebut diadakan; agar pemuda-pemudi memberi diri dan menjadi yang terbaik untuk Tuhan dan bukan mengikut arus dunia yang menyesatkan. Saya rumuskan pelajaran dalam retreat tersebut berdasarkan siri ceramah yang telah disampaikan oleh para hamba Tuhan yang terlibat seperti berikut; 

Pemuda-Pemudi Yang Dinamik ialah pemuda/i yang taat kepada firman Tuhan, beribadah kepada Tuhan dan hidup takut akan Tuhan. Menjadi pemuda/i Kristian yang dinamik memang bukan mudah. Firman Tuhan tidak pernah menyebut bahawa setelah menjadi orang yang percaya Tuhan semuanya akan jadi mudah. Kita masih harus berjuang untuk mempertahankan iman dan masih harus berjuang untuk membina kehidupan sama seperti orang yang tidak percaya Tuhan. Bezanya cuma pada pimpinan dan penyertaan Tuhan. Tuhan tidak akan mengecewakan orang2 yang percaya kepada-Nya. (Pta. Daring Laban)

Dinamiknya seorang pemuda/i terletak pada hatinya. Pemuda/i harus belajar untuk memiliki Hati Seperti Seorang Hamba. Hamba yang dimaksudkan bukan seperti hamba abdi, bukan sebagai hamba dosa atau hamba Iblis, tetapi menjadi hamba Tuhan. Seorang hamba Tuhan memiliki hati yang mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa, akal budi, dan dalam perbuatannya. Juga mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri dengan kasih Tuhan (kasih agape). Pemuda/i yang dinamik harus memiliki hati yang tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa bersikap rendah hati. Itulah rahsia untuk memiliki hati yang kuat dan tabah dalam menghadapi sebarang cabaran hidup. (Pst. Talip Jangeh)

Firman Tuhan amat penting kerana ia menjadi suluh hidup. Ia harus dibaca dan direnungkan selalu untuk mendapatkan terang kehidupan. Setiap pemuda/i yang ingin menjadi dinamik harus mengadakan Saat Teduh (waktu untuk belajar firman Tuhan dan berdoa) yang konsisten. Jika firman Tuhan ialah makanan rohani, doa pula adalah pernafasan rohani. Itulah sebabnya seorang pemuda/i yang dinamik dapat mempertahankan kedinamikannya dengan rajin merenungkan firman Tuhan dan berdoa menjadi gaya hidupnya. Ambillah waktu yang sesuai untuk saat teduh setiap hari. (Pta. Amidy Malagob)

Apa pun yang kita harapkan di dalam hidup ini, kita harus belajar untuk memilikinya berlandaskan ajaran firman Tuhan. Jika pemuda/i menginginkan Kecemerlangan Dalam Kerjaya, belajarlah untuk hidup menurut firman Tuhan. Tetapkan matlamat yang hendak dicapai, lupakan apa yang di belakang,  fokus ke hadapan dan berlarilah ke arah matlamat tersebut. Pemuda/i yang dinamik bukanlah pemuda/i yang tidak pernah mengalami kegagalan dalam hidup, tetapi menjadikan kegagalan sebagai satu kesempatan untuk bangkit memperbaiki diri dan berlari terus sehingga berjaya. (Dr. Nellson Maisin)

Nota: Jadilah 'Pemuda-Pemudi Yang Dinamik'.
1 comments
This article is 

DINAMIK KEHIDUPAN


Ketika fajar belum menyingsing,
Dia sudah lama menafsir mimpi,
Melupakan hari-hari yang telah hilang,
Dan merencanakan setiap saat yang menanti.

Ketika mentari terik memanah,
Dia masih berlari dan terus berlari,
Tanpa mengenal erti lelah dan putus asa,
Kerana kekuatan bukan pada zahirnya.

Ketika senja sudah berlabuh,
Dia tidak terus terlena diulit mimpi,
Masih celik jiwanya bertafakur,
Menyahut panggilan syurgawi.

Ketika lelap di peraduan,
Mimpinya bukan pada bulan dan bintang,
Tetapi pada siang yang terang,
Kerana di situ ada realiti.

Baginya selagi esok masih ada,
Selagi itulah masih ada kesempatan,
Memperjuangkan setiap langkah iman,
Kerana kehidupan adalah dinamik.

23 Jun 2010.
0 comments
This article is 

My Grace Is Sufficient For You

Salam damai kepada para pembaca VCM yang dikasihi.

Beberapa waktu kebelakangan ini, minda saya selalu sibuk dan disibukkan oleh banyak hal2 kehidupan yang kebanyakannya menuntut ketabahan yang amat mencabar. Kata orang itu lumrah kehidupan di dunia yang fana. Dan itu sudah pasti benar. Namun, sebagai orang2 yang percaya kepada Tuhan, kita tidak perlu ditewaskan oleh kepahitan dan kepayahan hidup kerana "kasih kurnia Tuhan cukup bagi kita dalam setiap keadaan." ( My grace is sufficient for thee; 2 Cor 12:9; KJV).

Seringkali pada waktu2 keadaan yang amat mendukakan, kita mudah tergoda untuk mempersoalkan, "di manakah Tuhan? Mengapa Dia tidak mempedulikan kesusahanku?" Jika persoalan sedemikian dibiarkan berterusan menguasai fikiran kita, lambat laun kita akan tenggelam dalam keputusasaan yang teruk. Tetapi, puji Tuhan kerana saat kita berputus asa, Tuhan ada dekat dengan kita, bahkan lebih dekat daripada mana2 waktu lain dalam kehidupan kita. Saat kita merasakan diri kita kosong dan tidak punya apa2, itulah saat terbaik untuk Tuhan datang 'memenuhi' kita. Tuhan rindu untuk mengosongkan kita dari segala perkara yang memalingkan fikiran dan komitmen kita daripada-Nya agar Dia memiliki tempat dan ruang yang penuh di dalam hati dan hidup kita.

Pada waktu anda berduka dan putus asa, renungkanlah kebaikan Tuhan. Inilah saatnya kita harus memusatkan seluruh fokus kita kepada pengorbanan (kasih kurnia) terbesar Yesus di kayu salib demi untuk keselamatan orang2 yang tidak layak dan berdosa seperti kita. Ketepikan segala cabaran dan halangan untuk memfokuskan fikiran kita kepada-Nya. Usir semua hambatan itu dengan kuasa doa, disertai iman yang tidak berbelah bahagi. Tuntutlah semua kepastian janji-janji-Nya melalui Firmannya kerana Yesus mengajar kita agar "meminta maka akan diberikan kepada kita."

Jika kita benar2 dan sungguh2 melakukan semua bahagian/tanggungjawab kita dalam menghadapi mahupun memperolehi sesuatu, saya percaya, kuasa Tuhan yang ajaib akan dilimpahkan untuk melengkapkan separuh lagi bahagian di pihakNya bagi hidup kita, sesuai dengan kehendakNya.

Anggaplah semua kesusahan dan kesulitan hidup sebagai satu berkat yang membawa kita lebih dekat kepada Tuhan. Marilah kita menjiwai kata2 Rasul Paulus yang berkata: "Tetapi apa yang dahulu merupakan keuntungan bagiku, sekarang kuanggap rugi kerana Kristus. Malahan segala sesuatu kuanggap rugi, kerana pengenalan akan Kristus Yesus, Tuhanku, lebih mulia daripada semuanya. Oleh kerana Dialah aku telah melepaskan semuanya itu dan menganggapnya sampah, supaya aku memperoleh Kristus." (Filipi 3:7-8).

Apa saja yang telah hilang atau terpaksa kita lepaskan dalam hidup adalah berbaloi dan bahkan hanya 'sampah' jika dibandingkan dengan pengenalan/pembaharuan iman di dalam Yesus. Akhir kata, alihkanlah pandangan anda daripada kesusahan anda kepada Tuhan, maka damai sejahtera dari Tuhan yang melampaui segala akal pasti akan menjadi milikmu.

God bless everyone.
2 comments
This article is 

BERPAUT PADA HARAPAN

Hari Ahad yang lalu saya berbakti dan melayani di gereja SIB Pekan Tenghilan. Saya membawa bersama team PMM (Persekutuan Muda-Mudi) dari gereja SIB Pekan Tuaran untuk membantu melayani dalam Pujian dan Penyembahan. Sementara saya melayani melalui penyampaian firman Tuhan.

Saya mengambil tajuk di atas sebagai tema dan memetik ayat2 Alkitab dalam 1 Samuel 1: 1-28 (sila klik untuk membaca petikan tersebut); Cerita tentang Hana, isteri Elkana, yang kemudiannya menjadi ibu kepada Nabi Samuel. Kisah ketabahan seorang wanita untuk terus berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Para pembaca, dalam kehidupan kita seharian, kita semua sebenarnya sama seperti Hana; Mengharapkan suatu keberhasilan dalam hidup. Keberhasilan itu mungkin tentang keharmonian dalam keluarga, memiliki ekonomi yang baik, kesembuhan dari penyakit, kejayaan dalam pelajaran/kerjaya, atau tentang mendapatkan teman hidup yang terbaik. Melalui kisah hidup Hana ini, sebagai orang2 yang percaya Tuhan, kita belajar bagaimana untuk tetap 'berpaut pada harapan' tersebut.

1. Bertahan/tabah dalam penderitaan.

Elkana mempunyai dua orang isteri; Hana dan Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak. Selama bertahun2 keadaan itu berterusan dan selama itu jugalah Penina menghina Hana. Meskipun Hana sangat sakit hati, tetapi dia tidak bertindak membalas hinaan tersebut atau melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Penina. Hana begitu tabah menanggung penderitaannya.

Adakah sesiapa di antara kita yang berkata, "Saya cukup sengsara menanggung penderitaan."? Penderitaan yang kita maksudkan itu mungkin berkata tentang pergolakan dalam keluarga, keadaan ekonomi yang merundum, belum disembuhkan daripada penyakit, mengalami kegagalan dalam peperiksaan, kerjaya yang belum maju atau seringkali gagal dalam percintaan. Kita harus meneladani ketabahan Hana untuk tetap 'berpaut pada harapan' yang masih ada.

2. Setia berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Mungkin harapan kita untuk 'berhasil' sudah semakin tipis, sama seperti Hana. Sudah bertahun2 dia menjadi isteri Elkana. Mungkin umurnya sudah lanjut dan hampir menopause (atau mungkin juga sudah menopause). Namun Hana tetap 'berpaut pada harapan' yang masih ada. Dan pengharapan Hana hanya di dalam Tuhan. Dia menangis dan berpuasa kerana terlalu sedih dan menderita, tetapi di dalam penderitaan tersebut dia tetap setia berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Adakah kita masih percaya Tuhan di saat kita menyedari seperti tidak ada harapan lagi? Jika kita sudah berusaha sedaya upaya tetapi masih belum melihat tanda2 keberhasilan yang kita harapkan, dapatkah kita meneladani Hana yang tetap setia berlutut dan berdoa kepada Tuhan? Hana berkata bahawa dia sangat sedih dan berputus asa, tetapi dia tetap bersandar dan berharap kepada Tuhan.

3. Bernazar dan menunaikannya.

Dengan sangat sedih Hana berdoa kepada Tuhan sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan janji di hadapan Tuhan, bahawa jika Tuhan mengurniakan dia seorang anak lelaki, maka anak itu akan diserahkannya kepada Tuhan untuk menjadi hamba Tuhan seumur hidupnya. Selepas doa itu, walaupun Hana berkata bahawa dia sangat sedih dan putus asa, tetapi dia dan suaminya tetap meneruskan 'usaha' untuk mendapatkan anak.

Bernazar memerlukan kesanggupan dan kesungguhan. Ketika kita sangat mengharapkan Tuhan mengabulkan doa kita, sanggupkah kita berjanji bahawa apa yang kita minta itu akan kita berikan semula kepada Tuhan untuk kemuliaan-Nya? Persoalan yang lebih berat ialah, adakah nazar yang kita sanggup ucapkan itu sungguh2 kita maksudkan? Sebab mungkin ramai orang yang sanggup mengucapkan nazar, tetapi mereka belum tentu sungguh2 akan menunaikannya.

Tuhan melihat kesungguhan dan kesetiaan Hana. Tuhan tersentuh dengan nazar Hana. Lalu Tuhan mengabulkan doa Hana dan Hana menunaikan nazarnya. Bagaimana dengan kita?

Nota: Kita mungkin sudah putus asa, tetapi jangan putus harapan.
3 comments
This article is 

KEBANGGAAN ANAK DAN ORANG TUA

"Kebanggaan orang yang sudah tua adalah anak cucunya; kebanggaan anak-anak adalah orang tuanya." -Amsal 17: 6

Waktu itu cuti tahunan pengajian. Seperti biasa saya balik kampung untuk bersama keluarga. Nenek (ibu ayah) yang sudah sangat tua dan uzur juga tinggal bersama kami. Nenek hanya berbaring di dalam kamar usang, di teratak buruk, di mana kami tinggal bersama. Tidak lagi mampu sekali pun untuk duduk tanpa bantuan. Makan dan minumnya juga perlu disuap dan tidak mampu lagi untuk membersihkan diri sendiri. Belakang nenek juga banyak luka yang perlu dirawat.

Suatu hari saya membersihkan nenek. Saya memandikan, mengelap dan menukarkan pakaian nenek. Semua itu saya lakukan hanya di dalam kamar usang itu. Selepas itu saya membantu nenek untuk duduk dan mula menyikat rambutnya yang kusut. Nenek hanya berdiam diri sebelum akhirnya mengatakan sesuatu yang membuatkan saya sedikit tersentak.

"Ison, tidak lama lagi nenek akan pergi. Pergi untuk selama-lamanya..."

Nenek berdiam diri sejenak sebelum menyambung bicara. "Kita tidak akan dapat berjumpa lagi."

Saya mengerti maksud nenek, tetapi saya ingin nenek tahu bahawa akhir hidup di dunia ini bukanlah perpisahan untuk selama-lamanya. Saya ingin memberitahu nenek bahawa masih ada harapan untuk bersama semula di dalam kehidupan yang akan datang.

"Tidak nek, kita pasti akan bertemu dan bersama semula di syurga." Saya membalas kata2 nenek dengan penuh keyakinan dan pengharapan di dalam Tuhan.

"Ya... asalkan kita percaya Yesus kan Ison." Nenek berkata lagi. Kali ini dengan lebih lembut dan penuh kesyahduan.

Saya tidak mampu berkata apa2 lagi. Saya sudah tahu bahawa Tuhan Yesus bertakhta di hati nenek. Kata-kata nenek sungguh menyentuh hati saya, betapa dalam usianya yang sangat lanjut dan dikata orang sudah nyanyuk, masih mengerti bahawa Yesuslah pengharapan yang sejati untuk kehidupan yang kekal.

***

Nenek itu sudah lama meninggal. Kini saya ada seorang lagi nenek (sebelah ibu). Dia juga sudah sangat tua dan tidak lagi mampu bangun. Bahkan mengiring ke kiri dan ke kanan pun tidak mampu. Buat masa sekarang nenek tinggal dan dijaga di rumah Sis. Mimie (salah seorang penulis blog ini; my 1st cousin).

Keadaan nenek sekarang tidak jauh berbeza dengan nenek yang dulu. Payah untuk disuap makanan/minuman. Kadang2 mengerang kesakitan dan meracau (?). Orang kata nenek sudah nyanyuk dan tidak faham apa2 lagi, tapi pagi ini saya diingatkan semula bahawa masih ada kesedaran dalam diri nenek.

Mimie yang juga dalam keadaan fizikal yang kurang berupaya, meluangkan waktu bersama nenek setiap pagi untuk bercerita tentang kebaikan Tuhan, berdoa bersama-sama sambil menaikkan nyanyian memuji Tuhan. Nenek kelihatan tersenyum dan menunjukkan riak kegembiraan. Saya percaya nenek mengerti kasih Tuhan dan merindukan anak cucunya agar mengerti hal yang sama; bahawa di sini bukan pengakhiran untuk segala-galanya.

Kesempatan yang baik ini saya ingin mengajak para pembaca untuk merenung kebenaran firman Tuhan ini. Datuk/nenek atau ibu bapa kita mungkin sudah sangat tua dan kelihatan seperti hanya menyusahkan saja. Tetapi ingatlah bahawa jika bukan kerana mereka, kita tidak mungkin ada di dunia ini. Tidak mungkin kita boleh berbangga atau kecewa dengan apa yang kita miliki/hadapi sekarang. Sesungguhnya ada berkat khusus yang Tuhan salurkan kepada kita hanya melalui orang tua kita.

"Orang yang mencemohkan ayahnya atau ibunya yang sudah tua, pantas dicampakkan ke luar supaya matanya dipatuk burung gagak dan mayatnya dimakan oleh burung rajawali." -Amsal 30: 17
7 comments
This article is 

Rejoice In The Lord Always

"Bersukacitalah senantiasa dalam Tuhan! Sekali lagi kukatakan: Bersukacitalah!" (Filipi 4:4, ITB).

Shallom dan salam sejahtera kepada pengunjung setia VCM. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru 2010!

Sedikit terlambat kerana banyak 'kesedihan/kesusahan' datang menimpa saya beberapa waktu yang lalu hingga menghalang untuk berkongsi lebih awal/kerap dalam VCM ini. Namun di sebalik segala suka duka 2009, satu perkara yang sangat membangun iman saya ialah peringatan Tuhan dalam Filipi 4:4 bahawa kita haruslah tetap bersukacita selalu (senantiasa dalam bahasa Indonesia). Selalu yang pastinya bermakna setiap saat, tidak kira saat kita tertawa mahupun saat menangis kerana segala sesuatu ada waktunya.

Ketika merenungkan ayat yang indah ini, saya dapati bahawa di dalam Tuhan, sukacita itu kekal ada sekalipun ketika kita berada dalam kesusahan. Sukacita itu ada di dalam hati kita bukan kerana oleh keadaan sekeliling atau oleh keyakinan ke atas kekuatan diri kita sendiri tetapi oleh keyakinan iman ke atas Dia yang penuh kasih dan keyakinan atas kuasa-Nya yang tak terbatas, sentiasa 'in control' tidak kira betapa buruk/peritnya keadaan yang berlaku sedang menimpa kita.

Sukacita juga kekal ada dalam hati walau apapun keadaan kerana kita percaya bahawa "Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia" (Roma 8:28, ITB). Dalam kata lain, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya jika kita tetap percaya dan bersandar kepada Dia. Tuhan itu maha bijaksana dan tidak mungkin melakukan kesilapan. Lagipula, Tuhan sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada kita manusia meskipun adakalanya yang baik dari Dia itu kelihatan tidak baik di mata kita. Percayalah bahawa apapun keadaan, "TUHAN Allah adalah matahari dan perisai; kasih dan kemuliaan Ia berikan; Ia tidak menahan kebaikan dari orang yang hidup tidak bercela" (Mazmur 84:11, ITB).

Sukacita pasti akan tinggal di dalam hati kita bila kita sedar dan mengerti bahawa kita bukan diselamatkan oleh perbuatan kita tetapi oleh iman di dalam kasih Bapa melalui Yesus Kristus. Maksudnya, betapa jahat pun kita, betapa banyak kali pun kita jatuh di dalam dosa, keselamatan itu adalah milik kita setiap kali kita datang kembali kepada Yesus di dalam iman akan pengampunanNya bagi setiap dosa-dosa kita. Betapa baiknya Tuhan kita.

Dengan kebaikan Tuhan yang sempurna bagi saya dan bagi anda, masih adakah sebab untuk kita berduka? Tidak ada sama sekali. Di dalam Tuhan tidak ada sebab untuk kita bersedih hingga berputus asa dalam hidup.

Pilihlah untuk terus berjalan bersama Tuhan sepanjang tahun 2010 ini. Biarlah ini menjadi doa peribadi kita setiap hari di tahun yang baru ini "Ajarlah kami menghitung hari-hari kami sedemikian, hingga kami beroleh hati yang bijaksana." (Mazmur 90:12, ITB).


Tuhan memberkati kita.


1 comments
This article is