Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

KEBANGGAAN ANAK DAN ORANG TUA

"Kebanggaan orang yang sudah tua adalah anak cucunya; kebanggaan anak-anak adalah orang tuanya." -Amsal 17: 6

Waktu itu cuti tahunan pengajian. Seperti biasa saya balik kampung untuk bersama keluarga. Nenek (ibu ayah) yang sudah sangat tua dan uzur juga tinggal bersama kami. Nenek hanya berbaring di dalam kamar usang, di teratak buruk, di mana kami tinggal bersama. Tidak lagi mampu sekali pun untuk duduk tanpa bantuan. Makan dan minumnya juga perlu disuap dan tidak mampu lagi untuk membersihkan diri sendiri. Belakang nenek juga banyak luka yang perlu dirawat.

Suatu hari saya membersihkan nenek. Saya memandikan, mengelap dan menukarkan pakaian nenek. Semua itu saya lakukan hanya di dalam kamar usang itu. Selepas itu saya membantu nenek untuk duduk dan mula menyikat rambutnya yang kusut. Nenek hanya berdiam diri sebelum akhirnya mengatakan sesuatu yang membuatkan saya sedikit tersentak.

"Ison, tidak lama lagi nenek akan pergi. Pergi untuk selama-lamanya..."

Nenek berdiam diri sejenak sebelum menyambung bicara. "Kita tidak akan dapat berjumpa lagi."

Saya mengerti maksud nenek, tetapi saya ingin nenek tahu bahawa akhir hidup di dunia ini bukanlah perpisahan untuk selama-lamanya. Saya ingin memberitahu nenek bahawa masih ada harapan untuk bersama semula di dalam kehidupan yang akan datang.

"Tidak nek, kita pasti akan bertemu dan bersama semula di syurga." Saya membalas kata2 nenek dengan penuh keyakinan dan pengharapan di dalam Tuhan.

"Ya... asalkan kita percaya Yesus kan Ison." Nenek berkata lagi. Kali ini dengan lebih lembut dan penuh kesyahduan.

Saya tidak mampu berkata apa2 lagi. Saya sudah tahu bahawa Tuhan Yesus bertakhta di hati nenek. Kata-kata nenek sungguh menyentuh hati saya, betapa dalam usianya yang sangat lanjut dan dikata orang sudah nyanyuk, masih mengerti bahawa Yesuslah pengharapan yang sejati untuk kehidupan yang kekal.

***

Nenek itu sudah lama meninggal. Kini saya ada seorang lagi nenek (sebelah ibu). Dia juga sudah sangat tua dan tidak lagi mampu bangun. Bahkan mengiring ke kiri dan ke kanan pun tidak mampu. Buat masa sekarang nenek tinggal dan dijaga di rumah Sis. Mimie (salah seorang penulis blog ini; my 1st cousin).

Keadaan nenek sekarang tidak jauh berbeza dengan nenek yang dulu. Payah untuk disuap makanan/minuman. Kadang2 mengerang kesakitan dan meracau (?). Orang kata nenek sudah nyanyuk dan tidak faham apa2 lagi, tapi pagi ini saya diingatkan semula bahawa masih ada kesedaran dalam diri nenek.

Mimie yang juga dalam keadaan fizikal yang kurang berupaya, meluangkan waktu bersama nenek setiap pagi untuk bercerita tentang kebaikan Tuhan, berdoa bersama-sama sambil menaikkan nyanyian memuji Tuhan. Nenek kelihatan tersenyum dan menunjukkan riak kegembiraan. Saya percaya nenek mengerti kasih Tuhan dan merindukan anak cucunya agar mengerti hal yang sama; bahawa di sini bukan pengakhiran untuk segala-galanya.

Kesempatan yang baik ini saya ingin mengajak para pembaca untuk merenung kebenaran firman Tuhan ini. Datuk/nenek atau ibu bapa kita mungkin sudah sangat tua dan kelihatan seperti hanya menyusahkan saja. Tetapi ingatlah bahawa jika bukan kerana mereka, kita tidak mungkin ada di dunia ini. Tidak mungkin kita boleh berbangga atau kecewa dengan apa yang kita miliki/hadapi sekarang. Sesungguhnya ada berkat khusus yang Tuhan salurkan kepada kita hanya melalui orang tua kita.

"Orang yang mencemohkan ayahnya atau ibunya yang sudah tua, pantas dicampakkan ke luar supaya matanya dipatuk burung gagak dan mayatnya dimakan oleh burung rajawali." -Amsal 30: 17
7 comments
This article is