Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

BERPAUT PADA HARAPAN

Hari Ahad yang lalu saya berbakti dan melayani di gereja SIB Pekan Tenghilan. Saya membawa bersama team PMM (Persekutuan Muda-Mudi) dari gereja SIB Pekan Tuaran untuk membantu melayani dalam Pujian dan Penyembahan. Sementara saya melayani melalui penyampaian firman Tuhan.

Saya mengambil tajuk di atas sebagai tema dan memetik ayat2 Alkitab dalam 1 Samuel 1: 1-28 (sila klik untuk membaca petikan tersebut); Cerita tentang Hana, isteri Elkana, yang kemudiannya menjadi ibu kepada Nabi Samuel. Kisah ketabahan seorang wanita untuk terus berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Para pembaca, dalam kehidupan kita seharian, kita semua sebenarnya sama seperti Hana; Mengharapkan suatu keberhasilan dalam hidup. Keberhasilan itu mungkin tentang keharmonian dalam keluarga, memiliki ekonomi yang baik, kesembuhan dari penyakit, kejayaan dalam pelajaran/kerjaya, atau tentang mendapatkan teman hidup yang terbaik. Melalui kisah hidup Hana ini, sebagai orang2 yang percaya Tuhan, kita belajar bagaimana untuk tetap 'berpaut pada harapan' tersebut.

1. Bertahan/tabah dalam penderitaan.

Elkana mempunyai dua orang isteri; Hana dan Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak. Selama bertahun2 keadaan itu berterusan dan selama itu jugalah Penina menghina Hana. Meskipun Hana sangat sakit hati, tetapi dia tidak bertindak membalas hinaan tersebut atau melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Penina. Hana begitu tabah menanggung penderitaannya.

Adakah sesiapa di antara kita yang berkata, "Saya cukup sengsara menanggung penderitaan."? Penderitaan yang kita maksudkan itu mungkin berkata tentang pergolakan dalam keluarga, keadaan ekonomi yang merundum, belum disembuhkan daripada penyakit, mengalami kegagalan dalam peperiksaan, kerjaya yang belum maju atau seringkali gagal dalam percintaan. Kita harus meneladani ketabahan Hana untuk tetap 'berpaut pada harapan' yang masih ada.

2. Setia berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Mungkin harapan kita untuk 'berhasil' sudah semakin tipis, sama seperti Hana. Sudah bertahun2 dia menjadi isteri Elkana. Mungkin umurnya sudah lanjut dan hampir menopause (atau mungkin juga sudah menopause). Namun Hana tetap 'berpaut pada harapan' yang masih ada. Dan pengharapan Hana hanya di dalam Tuhan. Dia menangis dan berpuasa kerana terlalu sedih dan menderita, tetapi di dalam penderitaan tersebut dia tetap setia berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Adakah kita masih percaya Tuhan di saat kita menyedari seperti tidak ada harapan lagi? Jika kita sudah berusaha sedaya upaya tetapi masih belum melihat tanda2 keberhasilan yang kita harapkan, dapatkah kita meneladani Hana yang tetap setia berlutut dan berdoa kepada Tuhan? Hana berkata bahawa dia sangat sedih dan berputus asa, tetapi dia tetap bersandar dan berharap kepada Tuhan.

3. Bernazar dan menunaikannya.

Dengan sangat sedih Hana berdoa kepada Tuhan sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan janji di hadapan Tuhan, bahawa jika Tuhan mengurniakan dia seorang anak lelaki, maka anak itu akan diserahkannya kepada Tuhan untuk menjadi hamba Tuhan seumur hidupnya. Selepas doa itu, walaupun Hana berkata bahawa dia sangat sedih dan putus asa, tetapi dia dan suaminya tetap meneruskan 'usaha' untuk mendapatkan anak.

Bernazar memerlukan kesanggupan dan kesungguhan. Ketika kita sangat mengharapkan Tuhan mengabulkan doa kita, sanggupkah kita berjanji bahawa apa yang kita minta itu akan kita berikan semula kepada Tuhan untuk kemuliaan-Nya? Persoalan yang lebih berat ialah, adakah nazar yang kita sanggup ucapkan itu sungguh2 kita maksudkan? Sebab mungkin ramai orang yang sanggup mengucapkan nazar, tetapi mereka belum tentu sungguh2 akan menunaikannya.

Tuhan melihat kesungguhan dan kesetiaan Hana. Tuhan tersentuh dengan nazar Hana. Lalu Tuhan mengabulkan doa Hana dan Hana menunaikan nazarnya. Bagaimana dengan kita?

Nota: Kita mungkin sudah putus asa, tetapi jangan putus harapan.
This article is 

3 comments:

fred said...

Terima kasih sdr. Eson atas perkongsian tentang HARAPAN. Saya terdorong untuk memberi sedikit kesaksian tentang apa yang saya alami tahun lalu dan awal tahun ini kerana perkongsian ini memang tepat dengan pengalaman saya.

Bulan september tahun 2009 pertunangan saya telah putus dan membuatkan saya hampir-hampir putus asa. Apa tidaknya kasih yang disemai selama 9 tahun berakhir begitu sahaja. Pada masa itu orang-orang sekeliling saya mungkin masih boleh melihat saya tersenyum namun hakikatnya dalam hati saya menangis.

Tidak cukup disitu saya dan beberapa teman sekerja yang lain dibuang kerja pada bulan November 2009 kerana alasan kegawatan ekonomi dan kami orang baru dalam syarikat tersebut. Mahu atau tidak saya terpaksa menerima hakikat bahawa saya perlu mencari kerja baru, namun setalah puluhan permohonan kerja selama 3 bulan tawaran kerja tidak juga kunjung tiba..Menghadiri temuduga tidak kira berapa kali dan merupakan temuduga yang paling banyak saya hadiri sepanjang hidup saya.

Saya bersyukur, walaupun menghadapi tekanan hidup yang dashyat bagi saya kerana perlu membayar loan bank sperti rumah dan kereta dengan simpanan yang tidak seberapa, atas doa dan dorongan teman-teman seiman yang membuat saya terus berharap kepada Tuhan. Saya selalu ingat perkata pemazmur yang mengatakan "Bahawa Tuhan adalah gembalaku, tak akan kekurangan aku." Itu membuatkan saya tetap tabah menghadapi dugaan. Saya tahu bahawa Tuhan tidak pernah membiarkan saya keseorangan menghadapinya.

Setelah berdoa, berpuasa dan dengan meletak kan sepenuhnya pengharapan kepada Tuhan akhirnya bulan Februari yang lalu saya telah ditawarkan kerja yang walaupun bukan di Malaysia tetapi cukup membuatkan hati dan semangat saya dipulihkan. Saya juga tahu bahawa Tuhan menghantar saya disini (Abu Dhabi) kerana Dia ada rencana yang indah untuk saya.

Semoga pembaca yang sempat membaca perkongsian ini dapat diteguhkan tidak kira apa juga dugaan yang sedang kita alami.

"Tidak ada perkara yang tidak dapat kita tanggung bila kita sungguh-sungguh berharap kepada Tuhan".

IsOn said...

Satu perkongsian peribadi yang sangat mendorong. Terima kasih saudara Fred dan Tuhan memberkatimu.

JMimie said...

If your stress overwhelming and you feel like giving up, you are in just the right place for God to do something wonderful in your life. "He heals the broken in heart and binds up thier wounds."

So, tetaplah berharap.

Thanks for the sharing dear brother.