Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

KEKAYAAN VS HIDUP SEJATI DAN KEKAL

Dua minggu yang lalu saya menyampaikan firman Tuhan di gereja SIB Pekan Tuaran berdasarkan tema pelayanan gereja tersebut sepanjang bulan Julai dan Ogos, iaitu Pelayanan Pendamaian. Saya memetik ayat firman Tuhan dalam Mat. 19: 19 yang berkata, "Hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri." Dalam ayat firman Tuhan ini saya telah menerangkan bahawa sebagai orang2 percaya yang sudah diperdamaikan dengan Bapa di syurga melalui Yesus, kita dituntut untuk melakukan perdamaian dengan ibubapa kita, orang lain dan juga dengan diri sendiri. Dan hukum yang terpakai ialah 'mengasihi'.

Namun jika kita meneliti keseluruhan petikan firman Tuhan (Mat. 19: 16-30) yang mengandung ayat di atas, kita akan dapati bahawa situasi sebenar ketika itu ialah seorang pemuda kaya telah bertanya kepada Yesus  tentang perbuatan baik yang boleh dilakukannya untuk memperoleh hidup sejati dan kekal. Yesus kemudian memberitahu pemuda kaya itu tentang  hal mentaati hukum Taurat yang Allah sudah sampaikan melalui Musa dahulu. Dengan bangga pemuda kaya itu menjawab bahawa dia sudah mentaati semuanya dan bertanya jika ada apa2 lagi yang dia perlu lakukan.

Sebenarnya jika manusia boleh diselamatkan hanya dengan mentaati hukum Taurat, maka tidak perlulah Yesus datang ke dunia ini untuk menebus dosa manusia. Malangnya pemuda kaya itu tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami hal itu. Ia terbukti apabila Yesus menyuruhnya menjual semua harta dan memberikannya kepada orang miskin, dan mengikut Dia. Ternyata pemuda kaya itu tidak sanggup untuk melepaskan segala kekayaannya untuk mengikut Tuhan.

Adakah kita memang tidak diperbolehkan untuk menjadi kaya atau kekayaan itu bertentangan dengan kehendak Tuhan? Secara peribadi saya berpendapat bahawa kekayaan itu sendiri bukanlah kekejian bagi Tuhan kerana banyak perkara di dunia ini, bahkan hal2 tentang pelayanan, memerlukan wang dan harta benda. Saya percaya, jika berpeluang, tidak ada orang normal yang tidak ingin menjadi kaya. Dan seperti pemuda dalam cerita alkitab ini, seseorang yang kaya pasti sukar untuk melepaskan kekayaannya untuk suatu perkara yang tidak dapat diterima oleh akal fikirannya (dalam konteks ini merujuk kepada tujuan mengikut Yesus).

Alkitab menyatakan bahawa semua orang sudah berdosa dan tidak ada seorang pun yang benar2 telah mentaati seluruh hukum Taurat. Itulah sebabnya ketika guru2 Taurat dan orang2 Farisi membawa seorang wanita berdosa di hadapan Yesus dan bertanya tentang hukuman yang setimpal dengan dosanya, Yesus  hanya berkata, "Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia." (Yoh. 8: 7) Tidak ada seorang pun yang berani berbuat demikian kerana mereka semua mengetahui dengan sungguh bahawa tidak ada seorang pun (termasuk guru2 Taurat  dan orang2 Farisi sendiri) yang tidak pernah berdosa dan telah mentaati hukum Taurat sepenuhnya.

Dalam kes pemuda kaya ini, kekayaannya telah digunapakai oleh iblis untuk membutakan mata rohaninya sehingga dia menjadi sombong dan angkuh. Keangkuhan dan kesombongannya itulah yang membuatkan dia tidak dapat melihat dan menerima Yesus sebagai jalan keselamatan hidupnya. Sebenarnya pemuda itu juga merupakan salah seorang pemimpin di kalangan bangsanya (Luk. 18: 18). Dia beranggapan bahawa dia sudah mentaati Taurat dan layak untuk menerima hidup sejati dan kekal. Saya melihat pertanyaannya kepada Yesus hanyalah bertujuan untuk mendapatkan pengesahanNya saja. Tetapi ternyata jangkaan pemuda kaya itu meleset.

Yesus cuba menyedarkan pemuda kaya itu dengan mengambil kekayaan yang dia miliki sebagai suatu perumpamaan. Seperti mana sukarnya dia melepaskan kekayaannya, demikian juga tidak mungkin dia sudah mentaati semua hukum taurat itu. Mesej yang Yesus mahu sampaikan kepada pemuda kaya itu sebenarnya ialah "Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang  kepada Bapa kecuali melalui Aku." (Yoh. 14: 6) Malangnya pemuda kaya itu tidak mengerti atau sengaja tidak mahu mengakui ketuhanan Yesus.

Mungkinkah ada di antara kita juga yang memiliki suatu 'kekayaan' yang membuatkan kita menjadi seperti pemuda kaya itu. 'Kekayaan' itu mungkin hanya berupa ketampanan, kecantikan, kemerduan suara, bakat luar biasa bermain muzik, penari yang hebat, khutbah yang efektif atau pangkat yang tinggi. Yesus berkata, "Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki (menyangkal diri), dan berikan wangnya kepada kepada orang miskin (melayani dengan sungguh2), maka kamu akan beroleh harta di syurga (berkat syurgawi). Kemudian marilah ikutlah Aku (memiliki hidup sejati dan kekal)." (Mat. 19: 21)

"Di saat kita mula merasakan diri kita semakin sempurna, kita sebenarnya semakin menjauh dari Dia yang menyempurnakan kita." -IsOn.
0 comments
This article is 

40 HARI BERPUASA DAN BERDOA

Maleakhi 4: 5-6
Hari ini merupakan hari pertama saudara kita yang beragama Islam menunaikan ibadah puasa. Saya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga sering 'mengerjakan' ibadah puasa Kristiani. Tidak tetap seperti mereka tetapi saya mengambil waktu untuk berpuasa apabila ada 'gerakan' untuk berbuat demikian. Saya juga terdorong mengikuti gerakan puasa dan doa anjuran gereja mahupun pertubuhan Kristian yang lain.

Satu perkara yang saya ingin tekankan di sini ialah puasa orang Kristian tidak bermakna jika tidak disertai doa. Itulah sebabnya ia disebut 'Berdoa dan Berpuasa' atau 'Berpuasa dan Berdoa'. Kenapa? Kerana isu utamanya ialah berdoa. Doa yang disertai dengan puasa sebenarnya mencerminkan kesungguhan dalam mendoakan perkara2 doa. Berpuasa saja tanpa berdoa tidak mempunyai apa2 makna di hadapan Tuhan. Tetapi jika kita berpuasa dan berdoa, ia seolah2 seperti kita menarik perhatian Tuhan sehingga Dia memalingkan wajahnya untuk menjawab keperluan doa kita.

Puasa orang2 Kristian bukanlah puasa yang diwajibkan. Ia hanya digalakkan dan terserah kepada kehendak, beban, dan kemampuan setiap individu yang terlibat. Tetapi panggilan untuk berdoa sepatutnya wajib. Ia kerana doa pada dasarnya ialah komunikasi antara kita dengan Tuhan. Kita perlu berhubung dengan Tuhan selalu agar kehidupan rohani kita sentiasa bernafas. Itulah sebabnya kekristianan tanpa doa secara rohaninya adalah mati. Orang yang bernafas pasti ingin makan, dan makanan rohani ialah firman Tuhan. Doa dan puasa yang didasari oleh firman Tuhan sesungguhnya doa yang efektif.

Setiap tahun National Evangelical Christian Fellowship (NECF) sebenarnya menganjurkan gerakan 40-Hari Berpuasa dan Berdoa di sepanjang bulan kemerdekaan. Semua umat Kristian di negara ini diseru untuk menyertainya kerana ia menandakan kesatuan kita untuk berdoa bagi negara yang kita kasihi ini. Bukan hanya berdoa tentang hal2 gereja dan keperluan anggota2 gereja, tetapi kesatuan untuk mendoakan para pemimpin negara, isu2 politik, ekonomi, sosial, dan kemasyarakatan yang berlegar di negara kita.

Gerakan doa dan puasa anjuran NECF pada tahun ini sudah pun bermula sejak 8 Ogos yang lalu dan akan berkakhir pada 16 September nanti. Tema pada tahun ini ialah "Menyatupadukan Genarasi" (Uniting the Generations), dan saya secara peribadi berpendapat bahawa ianya sangat releven dengan situasi negara kita pada masa ini.

Kita sedang berhadapan dengan keadaan di mana ada jurang di antara generasi. Generasi baru mula memberontak kepada generasi yang lebih dahulu, manakala generasi terdahulu disifatkan oleh generasi baru sebagai terlalu mengongkong dan 'memerintah'. Jurang ini kita tidak hanya lihat dalam masyarakt secara umum tetapi terjadi di dalam komuniti gereja dan keluarga sebagai unit asas masyarakat. Impak daripada jurang ini secara langsung atau tidak langsung menyebabkan peningkatan gejala2 sosial yang tidak sihat dalam masyarakat kita. Ramai anak2 muda yang tidak lagi mahu mendengar nasihat dan teguran orang2 tua. Banyak pasangan suami isteri yang tidak lagi sehaluan, dan ibu bapa juga ramai yang seakan2 sudah 'bosan' mendidik anak2 mereka.

Sebagai orang2 yang percaya Tuhan, kita tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh melihat nilai2 moral masyarakat kita semakin luntur. Kita tidak boleh hanya tahu mengomen pemimpin mana yang baik dan tidak baik. Tidak boleh hanya menjadi penonton dan pengguna yang pasif. Negara kita, politik, ekonomi dan sosial negara kita adalah tanggungjawab kita bersama. Sebagai orang2 Kristian yang mengaku bahawa Yesus mengasihi seluruh dunia ini, maka kita sebagai pengikut2nya harus bertindak sama menyatakan Kasih Yesus itu dengan mula berlutut, berpuasa dan berdoa untuk negara ini. Ayuh! Saudara2ku, kita sertai 40 Hari Berpuasa dan Berdoa 2010. Bersama kita 'menyatupadukan generasi' Malaysia.

Nota: Sudah lupakah kita tentang Yesus yang telah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam sebelum memulakan pelayanan-Nya? Atau sudah lupakah kita tentang peluh Yesus yang seperti darah menitik ke bumi ketika Dia berdoa dengan tekun di bukit Zaitun, saat sebelum Dia ditangkap? Berdoa (dan berpuasa) bukanlah 'zon keselesaan'. Ia adalah 'zon peperangan'.
0 comments
This article is 

YESUS KEKASIH JIWAKU

Shalom! Semua pembaca VCM. Semoga semuanya dalam keadaan yang baik dan diberkati Tuhan. Saya tidak berada dalam mood yang baik untuk blogging sebenarnya kerana beberapa hal peribadi, tetapi saat ketika saya merenungkan firman Tuhan, saya ditegur bahawa saya harus tetap kuat dan bersemangat untuk Tuhan, bahkan dalam keadaan yang amat sulit sekalipun.

Namun kali ini, saya sebenarnya bukan mahu berbicara tentang kesulitan peribadi atau sesiapa pun. Saya hanya ingin mengongsikan kebaikan Tuhan kepada kita semua. Selama ini kita mengambarkan Yesus sebagai seorang lelaki yang kacak dan berperawakan menarik (sekurang2nya melalui gambar2 dan tayangan filem tentang Yesus yang kita lihat). Tetapi bagaimanakah rupa paras Yesus sebenarnya seperti yang dinubuatkan oleh nabi Yesaya?

Musa, Yusuf, Daud, Samson, dan Daniel merupakan antara tokoh2 alkitab dalam perjanjian lama yang digambarkan oleh alkitab sebagai tampan/kacak. Tetapi bagaimana dengan Yesus? Perhatikan ayat2 berikut yang saya petik dalam Yesaya 53: 2-6, ketika Yesaya bernubuat tentang Yesus;

"TUHAN menghendaki hamba-Nya membesar seperti tunas yang tumbuh di tanah gersang. Rupanya tidak elok ataupun tampan sehingga kita tidak tertarik kepadanya. Tiada apa2 padanya yang menarik hati, yang membuat kita mengingini dia. Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. Tidak seorang pun hendak memandang dia; kita pun tidak mempedulikan dia.

Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritainya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya. Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing2 mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita." (Alkitab BM Berita Baik)

Petikan firman Tuhan ini sungguh2 telah menampar saya hari ini. Ketika saya rasa tertolak, rupanya penolakan yang Yesus alami lebih dahsyat lagi. Bahkan ketika ini pun masih terlalu ramai orang yang masih menolakNya. Ketika saya merasakan seperti menderita kerana hal2 di dunia ini, Yesus jauh lebih terseksa kerana mengalami penderitaan yang tidak selayaknya untuk Dia. Itulah yang membuatkan saya sentiasa menitiskan air mata ketika berdiam diri di kakiNya. Seluruh hidup ini tidak mampu membalas kebaikan Tuhan. Hanya hati ini yang selalu mensyukuri rahmatNya dan hidup ini terus berada dalam pimpinanNya.

Oleh itu saudara2ku, dalam perjuangan hidup kita seharian, janganlah kita lupa akan segala kebaikan Tuhan. Yesus bukannya tidak ada kedudukan yang tinggi di syurga. Tetapi Dia rela turun ke dunia menjadi seperti saudara dan saya (Filipi 2: 6-11). Mungkin Yesus tidak setampan saudara, tetapi Dialah satu2nya manusia yang tidak berdosa pernah hidup di muka bumi ini, sehingga Dia diperlayakkan untuk menjadi korban pengampunan dosa bagi segenap umat manusia. Ketika kita menolak Dia dan ketika kita sepatutnya tidak layak untuk dikasihi, Dia telah menunjukkan kasihNya dengan mati bagi kita. Bahkan mati di kayu salib.

Nota: "Ketika aku menghamparkan pandangan pada maya ini, aku tidak pernah tidak melihat kebaikan dan rahmat Tuhan bagiku. Terima kasih Tuhan atas kasih setiamu."
4 comments
This article is