Shalom! Gereja Maya (Virtual Church Ministries) mengucapkan Selamat Datang, Salam Damai dalam Kasih Tuhan kepada semua pengunjung laman ini. Tuhan memberkati...

ANUGERAH YANG TERINDAH

Shalom! Kiranya damai sejahtera dan kasih kurnia Tuhan sentiasa menyertai pembaca sekalian. Walaupun tanggal 25 Disember sudah berlalu, tetapi di kebanyakan tempat sambutan perayaan Krismas masih lagi berlangsung meriah, bahkan sehingga menjelangnya tahun baru. Di kesempatan ini, masih belum terlambat untuk saya mewakili rakan2 di VCM mengucapkan selamat menyambut perayaan Natal dan Tahun Baru kepada semua pembaca setia blog ini.

Krismas atau Natal berbicara tentang kelahiran Tuhan Yesus lebih 2000 tahun yang lalu. Dialah peribadi dalam berita baik atau injil yang hendak disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai 'anugerah yang terindah'. Sempena Natal tahun ini saya ingin mengongsikan mesej firman Tuhan tentang 'penyembahan yang sejati' terhadap anugerah ini. Saya mengambil teks petikan firman Tuhan yang terdapat dalam Matius 2: 1-12.

Cerita alkitab ini mengisahkan tentang beberapa orang pelawat dari Timur Yerusalem yang telah datang untuk menyembah dan memberikan persembahan kepada Yesus yang telah dilahirkan sebagai ‘Raja Orang Yahudi’, berdasarkan bintang yang mereka telah lihat. Terdapat banyak versi cerita (di luar alkitab) yang mencadangkan identiti para pelawat ini, tetapi apa yang jelas di dalam alkitab mereka hanya disebut sebagai magi atau wise men dalam terjemahan Bahasa Inggeris. Manakala dalam terjemahan Bahasa Malaysia/Indonesia mereka disebut sebagai orang2 majus atau ahli2 kaji bintang.

Para penyelidik alkitab berpendapat bahawa para pelawat ini berkemungkinan besar berasal dari Persia atau Babilonia. Mereka sama ada kelompok elit (para imam) penganut agama Zoroastrian di Persia yang percaya kepada satu Tuhan atau keturunan dari orang2 'bijaksana' di Babilonia yang pernah diketuai oleh nabi Daniel ketika umat Israel berada dalam pembuangan di sana satu ketika dahulu (Daniel 2: 48).

Selepas kerajaan Babilonia dijatuhkan oleh kerajaan Persia di sekitar abad ke-6 sebelum Masihi, Raja Cyrus telah membenarkan umat Israel pulang ke Yerusalem dan membina semula kota tersebut. Tetapi sebahagian daripada mereka telah menetap di Babilonia. Tentu mereka mengetahui nubuatan nabi Daniel tentang seorang Raja yang akan lahir untuk menjadi penyelamat umat Israel (Daniel 9: 24-27), dan sedang menanti-nantikan saat penggenapannya.

Bintang yang dilihat oleh para pelawat itu pula berkemungkinan bukanlah bintang sebenar kerana ia bergerak memandu mereka lalu berhenti di atas Yesus yang mereka temui sedang bersama ibunya di dalam sebuah rumah di Bethlehem. Besar kemungkinan bintang itu merupakan malaikat Tuhan yang bersinar kerana malaikat juga disebut sebagai bintang di dalam alkitab; bintang2 fajar (Ayub 38: 7) dan bintang2 di langit (Wahyu 12: 4).

Alkitab juga tidak menyebut bahawa para pelawat itu hanya seramai tiga orang dan telah menemui Yesus ketika Dia masih lagi bayi seperti anggapan kebanyakan orang. Boleh jadi bilangan mereka kurang dari tiga orang atau lebih praktikal lagi dalam satu rombongan yang terdiri daripada 10-20 orang. Jarak di antara Persia/Babilonia dan Yerusalem ialah di sekitar 800-900 batu dan perjalanan perlu merentasi padang pasir yang luas.

Dengan hanya berjalan kaki dan menunggang unta, tentu sekali para pelawat itu mengambil masa berbulan2 bahkan tahun untuk sampai ke Yerusalem. Itulah sebabnya setelah raja Herodes mengetahui bahawa mereka telah kembali ke negeri asal mereka melalui jalan lain tanpa memberitahu di mana Yesus berada, dia menjadi sangat marah lalu memerintahkan supaya semua kanak2 di Bethlehem yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh (Matius 2: 16).

Persembahan para pelawat dari Timur yang berupa emas, kemenyan, dan mur pula ditafsirkan sebagai satu simbolik pengurapan kepada seseorang yang penting menurut upacara keagamaan orang2 Yahudi. Emas berbicara tentang pengurapan Yesus sebagai raja, bahkan Raja di atas segala raja (Wahyu 19: 16), kemenyan berbicara tentang pengurapan Yesus sebagai imam agung dan bahkan Tuhan (Ibrani 4: 14), dan mur pula berbicara tentang pengurapan Yesus sebagai nabi/manusia yang menjadi korban pengampunan dosa yang sejati (Efesus 1: 7).

Pelbagai tafsiran dan andaian lain boleh dibuat tentang cerita Alkitab ini, namun satu hal yang pasti, kisah ini telah memberitahu kita tentang kesungguhan iman para pelawat itu mengembara jauh dari Timur hanya untuk mencari Yesus. Siapapun para pelawat ini, mereka tetap dilihat sebagai orang asing di Yerusalem. Tetapi merekalah yang lebih dahulu datang menyembah dan mempersembahkan hadiah kepada Yesus berbanding para imam dan guru Taurat sendiri yang boleh dikatakan sentiasa berada di Yerusalem (Yohanes 1: 11). Mereka (para imam dan guru Taurat) mengetahui tentang Yesus, tetapi tidak menerimaNya sebagaimana para pelawat misteri ini. Mereka tidak mengakui Yesus sebagai Tuhan dan Raja yang mereka  telah nantikan sekian lama.

Para pelawat ini mungkin telah meninggalkan isteri dan anak2 mereka untuk satu pengembaraan yang jauh dan penuh cabaran. Perhitungkan harta yang telah mereka bawa dan habiskan, masa yang mereka telah 'buang' (mereka ke Yerusalem bukan untuk berdagang atau mencari pekerjaan) dan bahaya (ribut pasir, serangan penyamun dan binatang liar/berbisa) yang mereka mungkin hadapi di sepanjang perjalanan. Tetapi mereka sanggup 'berkorban' hanya kerana seorang peribadi yang baru lahir bernama Yesus.

Bagaimana dengan kita saudara/i? Seperti mana para imam dan guru Taurat, kita mungkin kelihatan kuat beragama kerana rajin ke gereja, aktif dalam pelayanan dan bahkan mungkin berpengetahuan luas tentang alkitab, tetapi sudahkah kita mengenali Yesus seperti mana para pelawat dari Timur itu? Sudahkah kita mengakui dan menerimaNya sebagai Tuhan dan juruselamat hidup kita sendiri? Sudahkah kita datang kepadaNya untuk menyembah dan memberikan persembahan yang terbaik kepadaNya? Atau kita juga seperti raja Herodes yang hanya ingin membunuh Yesus?

"Berilah yang terbaik dan jadilah yang terbaik." Sabda Tuhan Juruselamat kita.
0 comments
This article is